PELAKON dan pengarah, Datuk Seri Eizlan Yusof, 52, hampir hilang suara susulan turut berkempen bersama-sama Tan Sri Annuar Musa untuk Perikatan Nasional (PN) sempena pilihan raya negeri (PRN) sejak Julai lalu.

Walaupun hadir memberi sokongan kepada Annuar yang juga Pengerusi Muafakat Nasional, bintang filem Town Mall itu sesekali turut diberi peluang berucap di pentas politik di beberapa lokasi.

“Saya kagum dengan keupayaan Tan Sri (Annuar), walaupun ada waktu beliau dilihat kurang sihat tetap konsisten berucap di lokasi berbeza hampir setiap malam.

“Saya yang diberi peluang sekali sekala untuk berucap pun hampir hilang suara, inikan pula setiap malam,” katanya.

Beliau ditemui pada acara kempen bermotosikal PN bersama Kelab Motosikal ARC (Alternative Riding Club) di Gombak, pada Ahad.

Turut serta calon PN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua, Muhammad Hanif Jamaluddin dan bekas Setiausaha Sulit kepada bekas Menteri Luar, Datuk Fyzal Fauzy.

Eizlan berkata, sepanjang berkempen bersama-sama Annuar, beliau melihat figura itu sangat fokus pada perjuangannya yang mempunyai aura tersendiri sekali gus mampu menarik sokongan rakyat terhadap PN.

“Sejak bersama-sama Tan Sri (Annuar) berkempen di setiap lokasi, saya melihat sendiri gelombang kebangkitan rakyat yang kecewa dengan kepimpinan di bawah PMX.

“Rakyat dimomokkan dengan ‘gelombang hijau’ sebagai kebangkitan golongan ekstremis agama, walhal ini adalah gelombang kebangkitan rakyat,” ujarnya.

Susulan itu, beliau percaya PN mampu menang besar pada PRN ini. - Sinar Harian