Jenazah anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Allahyarham Laskar Kelas I, TMK Muhammad Arif Idris yang maut dalam nahas di Jalan Ranau-Tamparuli berhampiran Kampung Bundu Tuhan, Tamparuli di Ranau, Selasa lalu selamat disemadikan di kampung halamannya di Melaka.

Allahyarham yang berusia 26 tahun dikebumikan kira-kira jam 4.37 petang tadi di Tanah Perkuburan Islam Klebang Besar dengan penuh istiadat ketenteraan termasuk Kawalan Kehormatan Jenazah.

Terdahulu, jenazah anak kedua daripada tiga beradik itu diterbangkan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu menggunakan pesawat pengangkut C-130H milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) ke Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) dan tiba pada jam 2.10 petang.

Jenazah Allahyarham kemudian dibawa ke kampung halamannya di Kampung Persiaran Balik Buluh, Klebang untuk penghormatan terakhir jam 2.45 petang sebelum disembahyangkan oleh kira-kira 200 ahli keluarga dan sahabat handai di Masjid Saad Ibni Abi Waqqas.

Turut hadir memberi penghormatan terakhir Juruiring Tentera Laut Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Datuk Sharum Shaim dan Asisten Ketua Staf Tadbir Markas Tentera Laut, Laksamana Pertama Abd Halim Shaari.

Selasa lalu, Muhammad Arif bersama dua lagi anggota TLDM maut manakala seorang cedera parah selepas trak tentera dinaiki mereka terbabas dalam kemalangan.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.55 tengah hari itu, dua lagi mangsa yang meninggal dunia adalah LK PAP Maslim Abdul Rahim dari Semporna, Sabah dan LK I TNL Mohamad Firdaus Mat Izan dari Kluang, Johor.