Seorang penjaja makanan dari Johor mengakui hampir pengsan apabila diberitahu terpilih sebagai pemenang RM1 juta dalam Cabutan Bank Simpanan Nasional (BSN) Sijil Simpanan Premium (SSP).

Tan Man Hua diumumkan sebagai pemenang utama bagi edisi Oktober.

"Individu yang menghubungi saya itu minta nombor kad pengenalan tapi saya tak bagi sebab tidak percaya. Terus saya letak telefon.

"Banyak kali dia hubungi saya, tapi saya tidak layan. Sehinggalah saya diminta hadir ke Wisma BSN, barulah saya percaya.

"Selepas diberi penerangan, saya terduduk. Rasa nak pengsan pun ada. Memang tak percaya," cerita Tan.

Merancang untuk membeli rumah menggunakan wang kemenangan itu, Tan mengakui keputusan membuat simpanan bersama BSN adalah keputusan yang tepat.

"Yang penting, simpan duit dahulu di BSN. Simpan dan jangan keluarkan. Mana tahu rezeki anda pula selepas ini," kata Tan.

Keterujaan Tan turut dikongsi oleh Munit Itam Fajar, yang memenangi sebuah kereta Merc C200.

Pesara kerajaan itu tetap hadir biarpun baru sahaja keluar dari hospital, sebagai tanda penghargaan kepada BSN.

Munit yang diwakili anak sulungnya, Muhamad Shahriman, menyarankan orang ramai agar turut sama membuat simpanan kerana ganjaran yang boleh diperoleh sangat besar.

"Ayah memang sudah lama menyimpan di BSN, seingat saya sejak saya masih kecil lagi. Alhamdulillah, mungkin rezeki ayah pada usia ini untuk memiliki sebuah kereta mewah.

"Dengan BSN, kita bukan sahaja membuat simpanan, tetapi juga mendapat ganjaran hadiah yang menarik," kata Shahriman.

Mereka ditemui pada majlis pengumuman Cabutan BSN SSP edisi November di ibu negara, hari ini.

Edisi November menyaksikan Hoo Mei Yoong dari Perak terpilih sebagai pemenang RM1 juta, manakala Vuvarajan A/L Suppiah, juga dari Perak, terpilih sebagai pemenang kereta mewah BMW 318i.

Bagi kategori Remaja Khas, Maithili A/P Manogran dari Pulau Pinang menjadi pemenang bertuah yang membawa pulang RM10,000.

Bulan Disember ini merupakan bulan terakhir bagi pelanggan yang mahu mencuba nasib dalam Cabutan BSN SSP bagi edisi 2017.

Selain wang RM1 juta dan kereta mewah, terdapat juga ganjaran lain seperti telefon pintar yang boleh menjadi rebutan.