Penjual durian di Pulau Pinang kini menawarkan perkhidmatan penghantaran buah tersebut hingga ke pintu rumah, kata Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan Yeoh Soon Hin.

Yeoh dalam satu kenyataan hari ini berkata, perkhidmatan tersebut membolehkan peminat raja buah itu untuk menikmati buah tersebut tanpa perlu keluar daripada rumah, ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Kebiasaannya ketika musim durian, ramai yang akan ke Balik Pulau dan Seberang Perai untuk menikmati buah durian Pulau Pinang yang amat terkenal.

"Ia juga telah membawa ramai pelancong ke Pulau Pinang, kerana ia salah satu daripada keistimewaan kami.

"Satu daripada kepentingan pelancongan ialah ia menjana pendapatan yang membantu masyarakat tempatan mendapatkan pendapatan.

"Bagaimanapun ketika PKP, pelancongan dan pendapatan yang dibawanya terjejas juga," katanya.

Oleh sebab itu, Yeoh mengalakkan penjual durian yang masih belum menyediakan perkhidmatan tersebut, untuk mempromosikan durian mereka menerusi akaun media sosial dan menyediakan perkhidmatan penghantaran durian untuk pelanggan mereka.

"Menerusi media sosial selaku platform promosi, orang ramai boleh menyokong mereka ketika waktu PKP tanpa perlu mereka keluar rumah," katanya sambil menambah cara alternatif ini akan dapat membantu memberikan pendapatan kepada rakyat tempatan.

-- BERNAMA