Mahkamah Sesyen hari ini menjatuhkan hukuman penjara selama sebulan ke atas seorang lelaki warga Jerman selepas dia mengaku bersalah atas dakwaan membuat gangguan dalam pesawat MAS, Sabtu lalu.

Dietmar Ross, 54, mengaku bersalah selepas faham dengan pertuduhan yang dibacakan sebanyak dua kali oleh jurubahasa mahkamah dalam bahasa Inggeris di hadapan hakim Aizatul Akmal Maharani .

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Uma Devi Subramaniam manakala tertuduh diwakili oleh Zaflee Pakwanteh.

Pada 10 Mei lalu, pesawat Malaysia Airlines (MAS) penerbangan MH179 dalam perjalanan ke Colombo, Sri Lanka terpaksa berpatah balik ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) berikutan gangguan yang ditimbulkan seorang penumpang yang didakwa mabuk.

BACA: Penumpang mabuk paksa MH179 patah balik ke KLIA

BACA: MH179: Netizen cemas, syukur pesawat selamat mendarat

Dalam kenyataan ini, MAS mengesahkan komander penerbangan membuat keputusan bagi itu bagi memastikan keselamatan dan keselesaan penumpang lain dalam pesawat berkenaan selepas penumpang itu mula menganggu kru penerbangan.

Oleh kerana saiz badan penumpang berkenaan yang besar, penumpang-penumpang lain terpaksa membantu anak-anak kapal daripada gangguan penumpang terbabit

Penumpang itu kemudiannya telah di serahkan kepada pihak berkuasa sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, KLIA, menurut kenyataan itu.