Seorang pegawai kanan polis Bukit Aman berkata penyertaan anggota polis wanita dalam pasukan pengaman Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) bukan sahaja akan memperkasakan diri mereka dalam menjalankan tugas memelihara keamanan, tetapi juga mewujudkan keseimbangan dari segi jantina dalam pasukan polis badan dunia itu.

Timbalan Pengarah Pengurusan (Latihan) Polis Diraja Malaysia (PDRM) DCP Datuk Narenasagaran Thangaveloo berkata anggota polis wanita mampu melaksanakan tugas dengan lebih baik dalam bidang tertentu seperti mendampingi kanak-kanak dan orang tua serta membantu kumpulan yang memerlukan bantuan dalam sesuatu misi PBB.

"Mereka juga mampu bertindak seperti seorang ibu kerana seseorang ibu bersikap baik hati dan lemah lembut untuk memberi khidmat kepada mereka (kumpulan sasaran) dengan lebih berkesan," katanya pada sidang akhbar selepas majlis perasmian Kursus Pembangunan Kemantapan Pegawai Kanan Polis Wanita di Maktab Polis Diraja Malaysia di sini pada Isnin.

Mengenai kursus itu, beliau berkata ia bertujuan meningkatkan kualiti kepimpinan dan kemampuan pegawai kanan polis wanita.

Katanya, seperti lelaki, wanita juga mampu bersaing dan belajar daripada satu sama lain untuk melaksanakan misi mereka di lapangan.

Sementara itu, Penasihat Polis PBB di Jabatan Operasi Pengaman, Pesuruhjaya Luis Carrilho berkata anggota polis wanita mampu mencorakkan kerjaya masing-masing ke arah yang lebih baik melalui penglibatan dalam misi PBB.

Bagaimanapun, beliau mengakui ketika ini, majoriti pegawai polis dalam misi PBB terdiri daripada lelaki.

Empat puluh tiga pegawai kanan polis wanita dari 22 negara menyertai kursus itu yang diadakan selama tujuh hari, bermula 14 Jan.

-- BERNAMA