Kerajaan Negeri Melaka meminta semua Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Penduduk (JKKK) untuk lebih berwaspada bagi membendung kegiatan jenayah termasuk ancaman kumpulan militan Daesh.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron, berkata struktur masyarakat seperti JKKK perlu memainkan peranan penting dalam mengesan mana-mana kegiatan yang luar biasa yang berlaku di kejiranan mereka.

Tambah Idris, kerajaan negeri menyasarkan kawalan keselamatan dari peringkat akar umbi seperti mengenalpasti tindak-tanduk anggota militan yang mungkin akan melakukan serangan di negeri tersebut.

"Saya sendiri dari pihak kereajaan negeri telah menasihatkan struktur masyarakat seperti JKKK supaya mereka menggunakan struktur itu untuk mengesan atau ternampak mana-mana kegiaatan luar biasa.

"Sebagai contoh kenderaan yang masuk di kejiranan mereka ... yang bawa masuk orang asing atau wajah asing yang tidak pernah ada dikejiranan mereka dengan bauan seperti amonia dan belerang sebagainya," katanya selepas Majlis Menyampaikan Amanat kepada 38 pegawai seranta negeri Melaka, Isnin.

Idris percaya, laporan dan siasatan awal mampu mematahkan rancangan kumpulan ini dari melakukan serangan.

"Mereka boleh terus lapor ke pihak berkausa tempatan dan balai polis yang berdekatan. Saya yakin dengan tindakan awal, mereka boleh mencegah sesuatu perkara daripada berlaku," katanya.

Selain itu, kawalan keselamatan di lapangan terbang di negeri itu juga diperketat bagi menghalang perkara tidak diingini berlaku.

Malah, pelbagai aspek keselmatan turut diperketat khususnya pada majlis keraian memandangkan Melaka sering menjadi tumpuan pelancong tempatan dan antarabangsa.