KUALA LUMPUR: Seorang saksi memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah menerima dua keping cek, masing-masing bernilai RM1 juta dan RM5 juta, daripada Pengarah Datasonic Group Bhd (DGB) Chew Ben Ben sekitar April 2017.

Saksi pendakwaan ke-91 Mohd Hizar Farhan Abdul Razi berkata, siasatannya mendapati kedua-dua cek berkenaan diserahkan Chew kepada Ahmad Zahid di Kediaman Rasmi Timbalan Perdana Menteri, Seri Satria, Putrajaya.

Jelas Pegawai Penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu lagi, kedua-dua cek berkenaan telah ditandatangani seorang lagi Pengarah DGB, Datuk Abu Hanifah Noordin, dan wang berkenaan datang dari satu lagi syarikat milik beliau, Sarana Kencana Sdn Bhd,

Berdasarkan carian di pangkalan data Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Mohd Hizar Farhan berkata, Abu Hanifah pernah menjadi pemegang saham terbesar untuk kedua-dua syarikat berkenaan, iaitu DGB dan SKSB.

“DGB merupakan sebuah syarikat induk yang mana di bawahnya ada beberapa anak syarikat antaranya syarikat Datasonic Technologies Sdn Bhd (DTSB).

“DTSB merupakan syarikat yang telah dianugerahkan onktrak pembekalan cip pasport untuk tempoh selama lima tahun atau untuk jumlah 12.5 juta cip yang akan dimasukkan ke dalam halaman biodata polycarbonate pasport antarabangsa Malaysia daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN),” katanya sewaktu perbicaraan.


[TERKINI] Perbicaraan kes rasuah Zahid Hamidi

Selain itu, Mohd Hizar Farhan turut memaklumkan mahkamah bahawa beliau telah meneliti beberapa kandungan surat berhubung penglibatan DGB melalui DTSB dalam projek pembekalan cip pasport.

Antara kandungan surat yang beliau teliti, surat DTSB bertarikh 26 Mei, 2014, memohon pertimbangan Perdana Menteri ketika itu iaitu Datuk Seri Najib Tun Razak berhubungkait tender berkenan; surat DTSB bertarikh 7 Oktober, 2014 kepada Ketua Setiausaha KDN untuk memohon pertimbangan Ahmad Zahid; serta surat DTSB bertarikh 9 Oktober, 2014, juga kepada Ahmad Zahid untuk memohon mendapat surat setuju terima (STT).

Berdasarkan siasatan terhadap surat-surat rasmi berkenaan, Mohd Hizar Farhan berkata, beliau mendapati terdapat bukti jelas Ahmad Zahid dalam kapasiti beliau sebagai Menteri Dalam Negeri telah menerima dua keping cek berjumlah RM6 juta.

Tambahnya lagi, bukti siasatan menjurus ke arah wang berkenaan sebagai upah dalam memainkan peranan mengarahkan proses kelulusan permohonan DTSB untuk membekalkan cip pasport tersebut disegerakan sehingga DTSB dilantik sebagai kontraktor pembekalan.

Terdahulu, perbicaraan kes rasuah dan penyelewengan dana melibatkan Ahmad Zahid, bersambung hari ini di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah.

BACA: Mahkamah minta bukti Zahid Hamidi hadir mesyuarat UMNO di Janda Baik, kebenaran rentas negeri

Ia bersambung semula selepas Hakim bersetuju menangguhkan perbicaraan pada 22 Februari lepas, susulan Ahli Parlimen Bagan Datuk itu mempunyai kontak rapat dengan salah seorang Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Johan Abdul Aziz yang disahkan positif COVID-19.

Kedua-dua mereka berada dalam bilik yang sama di pusat ILMU, Janda Baik, sewaktu Ahmad Zahid mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO tiga hari sebelumnya, iaitu pada 19 Februari 2021.

Untuk rekod, ini merupakan penangguhan kali ke-15 sejak perbicaraan bermula pada November 2019.

Sebagai imbasan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid, berdepan dengan 47 pertuduhan meliputi 12 pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Dakwaan menerima RM6 juta dari Abu Hanifah merupakan pertuduhan ke 14, dan ke 15 daripada keseluruhan 47 pertuduhan.

Pasukan pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwaraya Datuk Raja Rozela Raja Toran dan Gan Peng Kun,, manakala pembelaan diketuai peguam Hisham Teh Poh Teik dan Hamidi Mohd Noh.