Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan empat hari bermula 9 Okt untuk perbicaraan kes saman fitnah aktivis, Maria Chin Abdullah terhadap Ketua Bahagian UMNO Sungai Besar Datuk Seri Jamal Md Yunos atas dakwaan mengaitkan Bersih 2.0 dengan kumpulan pengganas Daesh.

Peguam Melissa Sasidaran, yang mewakili Maria, memberitahu pemberita bahawa Hakim Datuk Mohd Zaki Abdul Wahab Hakim menetapkan 9 hingga 12 Okt untuk perbicaraan ketika pengurusan kes itu di dalam kamarnya hari ini.

Katanya mahkamah juga menetapkan 22 Mei untuk pengurusan kes bagi kedua-dua pihak menyediakan dokumen berhubung perbicaraan kes saman itu. Prosiding itu turut dihadiri peguam Mohammed Nasser Yusof mewakili Jamal.

Pada 7 Okt tahun lepas, Maria, 60, yang juga pengerusi Jawatankuasa Pemandu Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) menyaman Jamal yang merupakan Pengerusi Gabungan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Melayu dan Gerakan Merah Malaysia (GMM) selaku defendan.

Dalam pernyataan tuntutan itu, Maria selaku plaintif mendakwa pada 28 Sept 2016, Jamal telah mengeluarkan kata-kata fitnah dalam satu sidang media di perkarangan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dan telah diterbitkan serta disiarkan di beberapa portal berita, media cetak nasional dan media elektronik.

Plaintif juga mendakwa, pada 4 Okt tahun lepas, Jamal sekali lagi mengeluarkan kata-kata fitnah terhadapnya di perkarangan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dan telah diterbitkan pada 5 Okt di portal berita, media cetak nasional dan media elektronik.

Beliau menuntut ganti rugi am, teruk, dan teladan serta perintah injunksi bagi menghalang defendan daripada mengulangi atau menyiarkan semula perkataan fitnah itu.

-- BERNAMA