KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar Datuk Seri Jamal Md Yunos untuk menggantung perlaksanaan penghakiman yang memerintahkannya membayar ganti rugi RM300,000 kepada bekas Menteri Industri Utama Teresa Kok Suh Kim berhubung dakwaan menyalahgunakan dana Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas) pada tahun lepas.

Peguam Datuk S.N. Nair yang mewakili Kok berkata Pesuruhjaya Kehakiman (JC) Datuk Mohd Arief Emran Arifin menolak permohonan Jamal selaku defendan dengan kos RM3,000 yang perlu dibayar kepada Kok iaitu plaintif.

"Mahkamah menolak permohonan (Jamal) untuk menggantung perlaksanaan penghakiman Mahkamah Tinggi itu dengan alasan tidak wujud apa-apa keadaan istimewa untuk penggantungan," katanya ketika dihubungi pemberita selepas prosiding secara dalam talian hari ini.

Sementara itu, peguam Rejinder Singh yang mewakili Jamal ketika dihubungi mengesahkan perkara itu dan pihaknya akan merayu terhadap keputusan berkenaan.

Pada 26 Julai 2022, Kok berjaya memperoleh ganti rugi RM300,000 selepas memenangi kes saman fitnah terhadap Jamal atas dakwaan menyalahgunakan dana Yawas selepas Mahkamah Tinggi membenarkan tuntutan saman Kok selaku plaintif terhadap defendan iaitu Jamal, yang difailkan pada 6 April 2017.

Dalam keputusan itu, JC Mohd Arief turut mengarahkan defendan (Jamal) membayar kos RM50,000 kepada plaintif.

Ahli Parlimen Seputeh itu yang memfailkan saman tersebut pada 6 April 2017, mendakwa Jamal telah mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah terhadapnya berkaitan dana Yawas ketika mengadakan sidang media pada 8 Mac 2017.

Dalam penyataan tuntutan, Kok mendakwa kenyataan berkenaan telah disiarkan oleh media cetak dan elektronik termasuk dalam laman sosial Facebook milik Jamal.

Beliau mendakwa kenyataan fitnah itu antara lain memberikan gambaran bahawa beliau telah menyalahgunakan dana kerajaan negeri untuk kegunaan sendiri dan seorang yang tidak beretika.

Oleh itu, plaintif menuntut ganti rugi am sebanyak RM1 juta, ganti rugi pampasan, ganti rugi teruk dan teladan serta perintah injunksi bagi menghalang defendan atau mana-mana ejennya daripada menerbitkan semula kenyataan fitnah berkenaan.

-- BERNAMA