Tutup

Perbincangan Perjanjian Air 1962 dibayangi isu ruang udara dan maritim, kata Singapura

Perbincangan Perjanjian Air 1962 dibayangi isu ruang udara dan maritim, kata Singapura
Rundingan semakan semula harga air mentah dengan Singapura yang dibekalkan Malaysia kepada Singapura bermula sejak sebulan lepas.
SINGAPURA: Perbincangan mengenai Perjanjian Air 1962 antara Singapura dengan Malaysia dibayangi oleh isu maritim dan ruang udara, menurut Kementerian Luar (MFA), Singapura.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan di sini, jurucakap MFA berkata semasa pertemuan antara Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong dengan rakan sejawatnya dari Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad pada 12 Nov 2018, "kedua-dua pemimpin menyatakan kesediaan mereka untuk pegawai-pegawai berbincang dengan lebih lanjut bagi lebih memahami kedudukan setiap pihak ke atas hak untuk menyemak semula harga air di bawah Perjanjian Air 1962."
Jurucakap itu berkata Peguam Negara dari kedua-dua negara kemudian mengadakan pertemuan pada Disember 2018," tetapi perbincangan mereka dibayangi oleh isu baharu yang timbul mengenai Had Pelabuhan Johor Bahru dan prosedur Sistem Pendaratan Instrumen Seletar (ILS)."


Kenyataan itu dikeluarkan sebagai mengulas pertanyaan media terhadap komen oleh Menteri Luar Malaysia Datuk Saifuddin Abdullah, pada Selasa.
Terdahulu, Saifuddin dilaporkan berkata rundingan semakan semula harga air mentah dengan Singapura yang dibekalkan Malaysia kepada Singapura bermula sejak sebulan lepas.

Beliau berkata rundingan itu dilakukan oleh Peguam Negara, Tommy Thomas dengan peguam negara republik berkenaan dan beberapa pertemuan lagi akan diadakan berhubung perkara itu.

"Perbincangan tentang perjanjian air telah bermula. Kita ada lapan perkara sedang dirunding dengan Singapura dan perjanjian air adalah satu daripadanya.


Ini (kejayaan memulakan rundingan) kita anggap penting kerana sebelum ini, kita tidak dapat duduk semeja tentang isu itu," katanya kepada pemberita selepas melawat Rohingya Education Centre (REC) Klang, Selangor, pada Selasa.


-- BERNAMA


Tag: Mahathir Mohamad, Lee Hsien Loong, Saifuddin Abdullah, Rohingya, Singapura, Kementerian Luar, Malaysia, Peguam Negara, Perdana Menteri, air, Johor Bahru



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.