Tuanku Canselor Universiti Malaya (UM) DYMM Sultan Perak, Paduka Seri Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibuddin Shah bertitah pada Rabu kepentingan mengenai memastikan universiti memiliki autonomi pengurusan akademik seperti yang ditegaskan ayahandanya pada Istiadat Konvokesyen UM 1987.

Sultan Nazrin memetik titah ayahandanya DYMM Almarhum Sultan Azlan Muhibuddin Shah Al-Maghfur-lah Ibni Almarhum Sultan Yussuf Izzuddin Shah yang dizahirkan pada 27 tahun lalu yang menyeru pemimpin-pemimpin politik dan orang kenamaan lain di dalam masyarakat supaya tidak mencuba mengarah atau mempengaruhi ataupun melobi pihak universiti dalam hal ehwal akademik.

“Dari segi sejarah, kita boleh perhatikan di negeri-negeri di mana pihak luar cuba campur tangan dalam pengurusan akademik sesebuah universiti, maka mutu akademiknya telah merosot dan sukar diperbaiki bukan sahaja di dunia ketiga tetapi di negeri yang telah maju,” Sultan Nazrin memetik titah ayahandanya yang bertarikh 1 Ogos 1987.

Baginda Sultan Nazrin Shah bertitah demikian di Majlis Memperingati Almarhum Sultan Azlan Muhibuddin Shah Al-Maghfur-lah Ibni Almarhum Sultan Yussuf Izzuddin Shah Ghafarullahu-lah pada Rabu di Dewan Tunku Canselor UM.

Majlis tersebut diadakan untuk menzahirkan penghargaan dan ingatan warga UM kepada Almarhum Sultan Azlan yang telah memberi naungan pimpinan kepada universiti itu selama 28 tahun.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah,
D.Y.M.M Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibuddin Shah melawat pameran di Majlis Memperingati Almarhum D.Y.M.M Sultan Azlan Shah di Dewan Tuanku Canselor UM - Astro AWANI

Almarhum Sultan Azlan Shah sebelum ini telah diperkenankan lantikan sebagai Canselor Ketiga Universiti Malaya oleh Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong Kelapan yang berkuat kuasa 8 Februari 1986.

Selama 28 tahun sebagai Canselor, Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah telah berangkat menzahirkan titah pada setiap Istiadat Konvokesyen daripada tahun 1986 sehingga 2011.

“Disebabkan kegeringan, Almarhum telah tidak berangkat pada Istiadat Konvokesyen pada tahun 2012 dan 2013.

“Dalam 26 Titah Konvokesyen yang dizahirkan, Sultan Azlan Muhibbuddin Shah secara konsisten menegaskan pentingnya universiti merangka pendidikan yang holistik, merangkumi aspek-aspek agama, intelek, nilai-nilai murni dan integriti agar universiti dapat menghasilkan graduan berilmu, beretika, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayan,” titah Sultan Nazrin.

Sultan Nazrin turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada UM kerana telah menganjurkan majlis yang sangat bermakna dan amat bereti kepada keluarga Almarhum.

“Beta menzahirkan penghargaan kepada wakil-wakil yang telah menyampaikan pidato peringatan, mewakili pelbagai konsituen termasuk pemidato jemputan dari National University of Singapore,” titah Sultan Nazrin Shah petang tadi.