Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menyarankan kerajaan merangka pelan perlindungan keselamatan untuk anggota penguat kuasa yang terdedah kepada ancaman dan ugutan.

Presidennya Datuk Azih Muda berkata gangguan seumpama itu menyebabkan mereka tidak boleh memberi tumpuan terhadap kerja yang akan menyebabkan petunjuk prestasi utama (KPI) mereka terjejas.

"Jadi sampai masanya perlu ada satu kaedah atau pelan perlindungan keselamatan anggota-anggota penguat kuasa bagi menjamin keselamatan mereka," katanya kepada pemberita pada majlis penyampaian cek faedah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di Wisma Perkeso di sini, pada Khamis.

Cuepacs turut menyarankan kepada kerajaan agar perlindungan insurans diberikan pada penjawat awam kontrak sementara yang dilindungi Perkeso untuk manfaat mereka.

-- BERNAMA