Sebuah kedai emas kerugian lebih RM500,000 dalam tempoh beberapa minit apabila beberapa dulang emas dilarikan empat lelaki bersenjatakan tukul dan senjata api di sebuah pasar raya, di Batu 16, di sini, hari ini.

Menurut Ketua Polis Daerah Gombak ACP Samsor Maarof ketika kejadian pada kira-kira jam 4 petang itu, terdapat seorang pengawal keselamatan tidak bersenjata dan dua pekerja wanita sedang bertugas.

Premis yang berada di tingkat dua pasar raya terbabit juga dipercayai berdepan dengan kawasan permainan kanak kanak.

Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) premis, suspek dipercayai empat lelaki lengkap berpakaian topi keledar muka penuh, bersarung tangan dan membawa senjata menyerupai pistol dan tukul besi.


Bagaimanapun, tiada kecederaan dilaporkan.

Difahamkan, premis itu pernah disamun pada 2017.

Ketika ini, gerakan Ops Tutup giat dilakukan bagi mengesan suspek.

Kes disiasat mengikut Seksyen 395/97 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun bersenjata.