Bagi memastikan mutu makanan jemaah Malaysia terjamin, Tabung Haji (TH) menggunakan beberapa syarikat penyaji perkhidmatan makanan, yang menepati piawaian kesihatan antarabangsa.

Ia juga untuk memenuhi syarat ketat yang ditetapkan kerajaan Arab Saudi dan Malaysia terhadap kesihatan pemakanan bagi mengelakkan sebarang insiden seperti keracunan makanan.

Menurut Pengurus Kanan Hal Ehwal Awam dan Komunikasi Korporat Kumpulan Tabung Haji, Mohamad Naser Jaffar, jika berlaku keracunan makanan, ia akan memberi kesan pada ramai jemaah haji kerana tempoh mengerjakan ibadat haji yang terhad.

Jelasnya, Tabung Haji amat menitik beratkan perkara itu dan Kerajaan Arab Saudi akan bertindak menutup perkhidmatan penyaji makanan jika ia tidak mematuhi piawaian.

"Jika berlaku cirit birit ia akan beri kesan pada ramai jemaah haji dan akan memberi kesan kepada ibadat haji mereka, yang mempunyai tempoh yang terhad dan hanya setahun sekali.

"Perkara ini amat dititik-beratkan. Kerajaan Arab Saudi akan bertindak menutup perkhidmatan penyaji makanan," katanya.

Sebelum bermula operasi haji setiap tahun, pihak Tabung Haji dan doktor dari Kementerian Kesihatan akan memeriksa dapur syarikat penyaji makanan, disusuli pemeriksaan pihak kesihatan Arab Saudi.

"Langkah itu dibuat bagi memastikan dapur syarikat terbabit benar-benar bersih.

"Selepas itu, pihak kesihatan Kerajaan Arab Saudi pula akan membuat pemeriksaan serupa. Ini membuktikan Tabung Haji mengambil berat tentang soal kebersihan penyediaan makanan untuk jemaah," katanya.

Mohamad Naser bersama kumpulan media Malaysia meninjau persediaan syarikat penyaji makanan bagi jemaah haji Al-Wafa Catering and Service di Mekah.

Al-Wafa Catering and Service sudah 12 tahun menjadi antara syarikat penyaji makanan bagi jemaah haji Malaysia.

Ia mampu menyediakan sehingga 6,000 pek makanan sehari bagi jemaah di bawah kelolaan Tabung Haji pada setiap musim haji.

Untuk musim 2016, 22,320 jemaah Malaysia akan mengerjakan ibadah haji.