Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) hari ini mendakwa pertikaian antara majikan dan anggota kesatuan menjadi 'masalah serius' di negara ini dan menyeru agar kerajaan mengambil tindakan segera untuk menguatkuasakan undang-undang berkaitan bagi membendung amalan haram dan melindungi pekerja.

Timbalan Ketua Setiausaha MTUC A. Balasubramaniam dalam saranan menjelang Hari Pekerja itu berkata, majikan menggunakan pelbagai kaedah tidak beretika untuk melemahkan keberkesanan kesatuan.

Sebagai contoh katanya, beberapa majikan pada mulanya menerima pembentukan kesatuan, kemudian memberi tekanan yang tidak wajar kepada anggota dan pemimpin dengan memindahkan mereka, mengganggu dengan memberikan surat tunjuk sebab, malah menyingkirkan mereka tanpa sebab yang munasabah.

Balasubramaniam berkata pembentukan kesatuan merupakan hak undang-undang pekerja dan bertujuan untuk mewujudkan hubungan harmoni antara pekerja dan majikan.

"Bagaimanapun, sesetengah majikan menganggap kesatuan sebagai musuh ketat mereka dan enggan bekerja dengan mereka serta cuba melemahkan keberkesanan mereka," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata MTUC bimbang dengan perkembangan ini kerana sejak kebelakangan ini pihaknya menerima banyak aduan daripada anggota gabungan mengenai penganiayaan oleh majikan.

Balasubramiam menggesa Pendaftar Kesatuan Sekerja untuk meningkatkan penguatkuasaan bagi mengambil tindakan terhadap majikan berkenaan dan MTUC akan memberi kerjasama penuh dalam isu ini.