Gelombang kedua baru sahaja bermula semalam, namun ia sudah meragut satu nyawa.

Dalam kejadian jam 9 pagi tadi, seorang lelaki dipercayai lemas selepas dihanyutkan arus deras di perkarangan rumahnya di Kampung Renak, Bukit Bunga, di sini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Jeli, Mohd Adni Ibrahim berkata, dalam kejadian jam 9 pagi itu, Suhaimi Ismail, 57 tahun, dijumpai lemas kira-kira 200 meter dari rumahnya.

"Mangsa yang merupakan seorang pesara sektor swasta itu dipercayai cuba menyelamatkan diri kerana rumahnya ditenggelami air setinggi 1.5 meter.

"Ketika menyelamatkan diri, mangsa dibawa arus yang agak deras sebelum ditemui oleh orang kampung kira-kira satu jam kemudian," katanya.

Katanya, mayat mangsa ditempatkan sementara di Klinik Kesihatan Bukit Bunga sebelum dihantar ke Hospital Jeli.