Sebuah pesawat Malindo Air dari Dhaka terpaksa berpatah balik ke Lapangan Terbang Antarabangsa Shahjalal selepas cermin depan kapal terbang itu dilaporkan mengalami keretakan.

Syarikat penerbangan itu dalam satu kenyataannya hari ini berkata juruterbang pesawat tersebut mematuhi langkah prosedur operasi standard (SOP) untuk mengemudi pesawat itu ke Dhaka.

Kru pesawat dan penumpang dilaporkan selamat.

“Keselamatan merupakan keutaamaan Malindo Air dan syarikat kami memohon maaf atas semua kesulitan dan kelewatan disebabkan insiden berikut,” menurut kenyataan itu.

Syarikat penerbangan itu turut dialporkan mendapatkan bantuan dari pihak keselamatan penerbangan bagi memastikan kebajikan penumpang dan kru terjamin.

“Kesemua penumpang telah dipindahkan ke pesawat yang berlainan,” kata kenyataan.

Dalam insiden Ahad lalu, sebuah lagi pesawat Malindo Air dari Lahore, Pakistan ke Kuala Lumpur terpaksa dilencongkan ke Delhi, India kerana masalah enjin.

Pesawat OD132 berlepas dari Lahore pada jam 9.25 malam Ahad lalu sebelum dikesan mengalami masalah teknikal.

Syarikat penerbangan itu dalam kenyataannya menjelaskan juruterbang mematuhi SOP dan berjaya mendaratkan pesawat di Lapangan Terbang Antarabangsa Indira Gandhi, Delhi dalam tempoh 40 minit.

Semua 75 penumpang selamat dan diberikan penginapan satu malam di hotel Lapangan Terbang Delhi.

Penumpang kemudiannya diterbangkan ke Kuala Lumpur hari berikutnya,

Kata kenyataan itu, kru teknikal dihantar ke lapangan terbang untuk menjalankan pemeriksaan ke atas pesawat bersama-sama pengendali teknikal Jet Airways.

Siasatan sedang dijalankan dengan pengeluar enjin dan boeing untuk mengetahui sebab utama masalah tersebut.