Kementerian Pendidikan merancang memperluas Program Perantisan Industri Menengah Atas (PIMA) ke 300 buah sekolah di seluruh negara tahun depan dalam usaha melahirkan lebih ramai pelajar berkemahiran.

Menterinya Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata pada masa ini pihaknya sedang mengenal pasti sekolah-sekolah yang bakal terlibat.

"Kita buat PIMA ini supaya pelajar-pelajar dapat kemahiran. Kita akan pastikan sekolah-sekolah yang terpilih tidak jauh dari tempat latihan industri bagi memudahkan para pelajar," kata beliau kepada pemberita selepas merasmikan Pejabat Pendidikan Daerah Johor Bahru, di sini hari ini.

Projek rintis PIMA yang dilaksanakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Rahman Putra, Sungai Buloh, Selangor mendapat respons positif ibu bapa.

PIMA merupakan program khas bagi pelajar tingkatan empat dan lima yang kurang cemerlang dalam akademik bertujuan melengkapkan mereka dengan kemahiran tertentu.

Menerusi PIMA, pelajar berkenaan hanya akan ke sekolah selama dua hari seminggu manakala selebihnya menjalani latihan di tempat industri.

Mengulas perkembangan lain, Mahdzir menyambut baik cadangan Polis Johor untuk mewujudkan perjawatan khas di sekolah-sekolah sebagai alternatif dalam mengekang gejala sosial daripada menular dalam kalangan pelajar sekolah.

"Apa-apa penambahbaikan yang melibatkan sekolah dan juga pasukan keselamatan (di sekolah), kita sokong," kata beliau, tidak semua sekolah memerlukan penambahbaikan sedemikian.

Semalam, Ketua Polis Johor Datuk Mohd Khalil Kader Mohd dilaporkan berkata satu perjawatan khas untuk sekolah perlu diwujudkan yang boleh membantu pihak sekolah dalam mengawal tingkah laku pelajar seperti Kor-Sukarelawan Polis Siswa Siswi yang diwujudkan di institusi pengajian tinggi.

-- BERNAMA