Cetusan kluster baharu berpotensi untuk wujud sekiranya kelonggaran sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dibuat secara mendadak menurut Pakar Kesihatan Awam Fakulti Dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Malina Osman.

Menurutnya lagi, kadar penurunan wabak COVID19 ini bergantung kepada tahap kebolehpatuhan orang ramai dalam mengamalkan langkah-langkah pencegahan ataupun prosedur operasi standard (SOP) yang telah pun ditetapkan sepanjang pelaksanaan PKPB.

“Dalam konteks kesihatan awam, kejayaan memerangi wabak ini bergantung hampir lebih 90 peratus pada kepatuhan individu.

“Masyarakat kita sering jalankan aktiviti besar-besaran terutamanya menjelang perayaan Aidilfitri yang akan datang ini dengan rumah terbuka dan sebagainya jadi perkara sebegini kita perlu ambil kira dalam usaha untuk kurangkan kes COVID-19 dalam masa empat minggu akan datang ini,” katanya ketika ditemu bual Astro AWANI pada Ahad.

Tegasnya lagi, komitmen masyarakat buat masa ini amatlah penting dalam usaha untuk membantu negara memerangi pandemik COVID19 dan apa yang membimbangkan adalah sekiranya keadaan itu tidak terkawal dan berlaku peningkatan secara mendadak yang secara tidak langsung mendatangkan beban kepada banyak pihak.

Kesimpulannya, Malina berpendirian aktiviti keramaian masih belum sesuai untuk diadakan sehingga menyebabkan himpunan yang tidak diduga meskipun Kementerian Kesihatan telah memberi jaminan bahawa sistem perkhidmatan mereka berada di dalam fasa yang terbaik.

Kerajaan hari ini mengambil keputusan untuk melanjutkan tempoh Perintah Kawalan Pegerakan Bersyarat (PKPB), selama empat minggu lagi, iaitu sehingga 9 Jun, 2020.

Keputusan itu dilakukan atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN), kerana usaha memerangi COVID-19 masih belum berjaya sepenuhnya.