Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) mengarahkan 12 tapak pembinaan ditutup kerana tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sehingga kini.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, menerusi satu kenyataan berkata, pada Khamis, CIDB membuat pemeriksaan di 191 tapak binaan di seluruh Malaysia yang melibatkan 193 penguat kuasa.

“Daripada jumlah itu, pemeriksaan CIDB telah mendapati 101 tapak binaan patuh SOP yang ditetapkan manakala tujuh tapak binaan tidak patuh SOP dan diberi amaran.

“Dua tapak binaan diarah tutup kerana tidak patuh SOP dan baki 81 tapak binaan tidak beroperasi.

BACA: Ini lima perkara penting kenyataan media PKPB

BACA: PKPB: Jumlah kenderaan diperiksa menurun, 67 individu ditahan - Ismail Sabri


“Jumlah kumulatif tapak binaan yang telah diperiksa oleh CIDB sehingga hari ini adalah 6,750 tapak binaan. Daripada jumlah itu, 1,312 tapak binaan didapati mematuhi SOP dan 295 tapak binaan tidak patuh SOP dan diberi amaran,” kata Ismail Sabri melalui satu kenyataan media pada Jumaat.

Sebelum ini, sebanyak 10 tapak pembinaan telah diarah tutup kerana tidak mematuhi SOP Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Dalam perkembangan lain, beliau berkata seramai 297 rakyat Malaysia telah pulang ke tanah air dan dikuarantin wajib pada Khamis.

"(Secara keseluruhan) Seramai 49,808 rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara telah dikuarantin wajib sejak 3 April lalu.

"Sehingga Jumaat, seramai 39,372 individu telah selesai menjalani tempoh kuarantin wajib dan dibenarkan pulang," ujarnya.