Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak hari ini mengumumkan pengagihan dividen berjumlah RM112.33 juta kepada 33,523 orang pekebun kecil Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) di seluruh negara bagi tahun ini.

Beliau berkata sebanyak RM39.59 juta daripada jumlah itu diagihkan kepada 16,080 peserta Rancangan Tanaman Baharu Berkelompok (RTBB) dan RM72.7 juta lagi diagihkan kepada 17,443 peserta Tanam Semula Komersial (TSK).

"Bayaran dividen ini meningkat sebanyak 5.17 peratus daripada RM106.8 juta pada tahun lepas kepada RM112.3 juta pada tahun ini yang pasti menggembirakan peserta RTBB dan TSK di bawah Risda," kata beliau.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata demikian semasa berucap pada majlis Penyampaian Dividen Risda Peringkat Nasional di Dewan Majlis Perbandaran Temerloh, Simpang Peragap, Kampung Ketam, Kerdau di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob dan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Dalam ucapannya, Najib turut menzahirkan rasa bangga dengan pencapaian Risda, yang penubuhannya dilancarkan oleh ayahandanya yang juga Perdana Menteri Kedua Tun Abdul Razak Hussein pada 8 Feb 1973, bagi membantu meningkatkan taraf hidup pekebun kecil.

Beliau berkata Risda, yang bermula dengan menguruskan penanaman semula 40,872 hektar kebun pada 1973 melibatkan 15,048 pekebun kecil, kini mencapai 1.01 juta hektar dengan 552,543 pekebun kecil.

"Sejak saya mengambil alih tampuk kepimpinan negara pada 2009, pelbagai transformasi telah dilaksanakan bagi membela nasib dan kebajikan pekebun kecil dan bantuan ini akan kita kekalkan untuk tahun-tahun seterusnya," kata beliau.

Sebagai contoh, beliau berkata elaun Pemaju Masyarakat Risda yang sebanyak RM300 hingga RM500 pada 2012 dinaikkan kepada RM800 pada 2014 dan pemberian Skim Bantuan Khas Kejatuhan Harga Getah pada 2013, 2014 dan 2016 yang berjumlah RM492.4 juta.

Selain itu, peruntukan RM10 juta diberikan kepada Program Generasi Muda Pekebun Kecil dalam Bajet 2014, kelulusan kenaikan Kadar Bantuan Program Tanam Semula Getah kepada Getah di Semenanjung Malaysia pada kadar RM9,230 sehektar berbanding RM7,000 sebelum ini dan subsidi sebanyak RM20,000 untuk Rumah Bina Negara generasi kedua luar bandar di bawah Risda.

"Kerajaan tidak pernah mengabaikan nasib pekebun kecil disebabkan mereka merupakan nadi komoditi getah dan sawit serta memainkan peranan utama dalam membangun, memajukan ladang dan memastikan pengeluaran hasil terbaik untuk keperluan industri," kata beliau.

Sepanjang Rancangan Malaysia Ke-10 bagi 2011 hingga 2015, Najib berkata kerajaan menyalurkan peruntukan hampir RM1.4 bilion kepada Risda untuk digunakan bagi kemajuan industri getah negara dan pekebun kecil.

"Pada RMK-11 bagi 2016 hingga 2020, kesinambungannya diteruskan dengan kerajaan memperaku sebanyak RM2.9 bilion kepada Risda, yang secara keseluruhannya menyaksikan peningkatan 48 peratus berbanding sebelumnya," kata perdana menteri.

Beliau berkata kebajikan pekebun kecil juga dijaga menerusi pemberian Bantuan Musim Tengkujuh berjumlah RM200 sebulan selama tiga bulan bermula November, Disember dan Januari 2018.

Semua bantuan itu adalah bukti keprihatinan kerajaan untuk meningkatkan taraf hidup masyarakat luar bandar termasuk pekebun kecil yang tidak boleh disangkal oleh sesiapa termasuk pembangkang, kata beliau.

"Ini berbeza daripada pihak sebelah sana yang manifestonya tidak jelas tentang apa yang mereka mahu lakukan untuk masyarakat luar bandar. Malah, mereka tidak ada rekod pun yang mereka mengambil berat atau peduli dengan masyarakat luar bandar," kata beliau.

Sehubungan itu, Najib berharap masyarakat luar bandar akan menilai perkara itu sebelum membuat keputusan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kerana 'sokongan hendaklah diberi kepada pihak yang banyak berbudi dan boleh menjamin masa depan'.

"Kita tidak boleh bergantung harap kepada orang yang cuma mahu menimbulkan rasa benci dalam kalangan rakyat atau yang ada sesuatu dendam kesumat dalam hati mereka... tidak boleh beri kepercayaan kepada pihak yang cuma timbulkan rasa marah," kata Najib.

Sementara itu, perdana menteri berkata majlis penyampaian Risda kali ini menampilkan sedikit kelainan kerana buat pertama kalinya ia diadakan di luar Parlimen Pekan setelah 10 tahun berturut-turut diadakan di situ.

Ini kerana, kata beliau, BN mahu jenteranya di kawasan itu supaya berusaha menawan kembali kerusi Parlimen Temerloh daripada PAS serta mempertahan kerusi-kersi Dewan Undangan Negeri yang disandang BN.

Sempena majlis itu, Najib turut menamakan Dewan Majlis Perbandaran Temerloh (MPT) Simpang Paragap, Kampung Ketam, di sini, yang dibina dengan peruntukan sebanyak RM5 juta sebelum ini, dinamakan sebagai Dewan Zaharuddin Kassim sempena nama bekas Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kerdau yang meninggal dunia pada Feb 2011.

-- BERNAMA