KUALA LUMPUR:Kerajaan bercadang untuk menyediakan peruntukan RM80 juta bagi Tabung Bencana Pertanian.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, bantuan khas itu dapat memanfaatkan petani yang terdiri daripada pesawah, nelayan dan pengusaha akuakultur, pekebun serta penternak yang mengalami kehilangan pengeluaran hasil akibat bencana alam.

Selain itu, beliau berkata, kerajaan juga mencadangkan kenaikan kepada kadar Elaun Sara Hidup Nelayan Darat (ESHND) daripada RM200 kepada RM250 sebulan bagi 3,400 nelayan darat yang berdaftar.

"Kerajaan prihatin kepada nasib pekebun kecil getah yang terjejas daripada naik turun harga komoditi getah dan bencana alam.

"Sehubungan itu saya ingin mengesahkan bahawa Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) akan diteruskan.

"Bayaran sebanyak RM300 sebulan akan dibayar pada bulan Disember 2020, Januari 2021 dan Disember 2021, kepada pekebun kecil yang layak di bawah Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dan Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS).

"BMT bakal memanfaatkan lebih daripada 300,000 pemilik kebun getah dan penoreh getah dan kerajaan komited untuk meneruskannya pada tahun 2021," katanya ketika sesi penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2021 bagi kementeriannya di Dewan Rakyat pada Khamis.

Dalam pada itu, Tengku Zafrul berkata, pihaknya bersetuju untuk mengkaji semula dan menyelaras kadar elaun perumahan bagi negeri Sabah.

"Kerajaan maklum bahawa kadar elaun perumahan bagi negeri Sabah adalah yang tertinggi, dan penjawat awam yang berkhidmat di Sabah mendapat elaun lebih tinggi daripada penjawat yang berkhidmat di Sarawak atau Semenanjung.

"Ini kerana, kali terakhir kadar tersebut disemak adalah pada 30 April 2002," ujarnya.