Polis menahan tiga pelajar lelaki Tingkatan Tiga selepas terlibat dalam kejadian memukul dan membuli dua pelajar Tingkatan Satu di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Parit di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah Supt Mohamad Zainal Abdullah berkata kejadian itu menyebabkan dua pelajar lelaki berkenaan cedera di bahagian badan serta kepala dan kini dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh.

Beliau berkata dalam kejadian Isnin lepas, kira-kira pukul 1 pagi, kedua-dua mangsa telah ditendang dan dipukul di hadapan dan belakang badan termasuk bahagian kepala beberapa kali sebelum mangsa yang lemah ditinggalkan beberapa minit di bilik menonton televisyen di sebuah blok asrama maktab berkenaan.

"Selang beberapa minit selepas itu, suspek telah kembali semula. Mangsa cuba menjerit tetapi mulut mereka ditutup dan suspek kemudiannya memegang kedua-dua tangan dan kaki mangsa sebelum menumbuk di bahagian perut beberapa kali dengan kuat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata selepas kejadian itu, mangsa telah diberi amaran oleh salah seorang pelajar tersebut untuk tidak menghebahkan perkara itu selain mengarahkan kedua-dua mangsa untuk beredar dari bilik berkenaan dalam tempoh lima minit jika tidak mahu dipukul lagi.

"Kesemua suspek menutup muka mereka dengan kain dan keadaan gelap semasa kejadian berlaku menyebabkan mangsa sukar mengecam suspek.

"Mangsa bagaimanapun mengesyaki pelajar-pelajar yang memukulnya adalah pelajar Tingkatan Tiga kerana tiga minggu yang lepas, mangsa ada melaporkan kepada pihak sekolah mengenai kegiatan pelajar seniornya yang selalu meminta duit mangsa," katanya.

Mohamad Zainal berkata, setakat ini polis sudah menahan tiga pelajar Tingkatan Tiga sekolah terbabit petang semalam bagi membantu siasatan dan masih mengesan beberapa lagi pelajar yang terbabit dalam kes tersebut.

Katanya, ketiga-tiga pelajar yang ditahan sudah pun diambil keterangan semalam dan dibebaskan dengan jaminan polis, malam tadi. — Bernama