Tidak memahami syarat pengeluaran, sukar mendapat pinjaman dan tertekan dengan kos sara hidup merupakan antara punca pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) terjebak dan mudah tertipu dengan aktiviti penipuan pengeluaran simpanan oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Keadaan itu menyaksikan pencarum sanggup berpakat dengan sindiket atau ejen yang sentiasa 'mempunyai maklumat' mereka yang berdepan masalah kewangan sehingga sanggup bekerjasama menipu KWSP dengan menyediakan dokumen palsu bagi merealisasikan hasrat memiliki 'sejumlah wang'.
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan mendedahkan terdapat pencarum yang berpakat dengan syarikat perumahan dan ejen hartanah untuk menipu KWSP semata-mata bagi mendapatkan hak ke atas wang simpanan mereka walaupun menyedari ia adalah tindakan yang salah.
Dengan menyasarkan pekerja sektor swasta berumur antara 30 hingga 50 tahun, beliau berkata sindiket atau ejen berkenaan seolah-olah mempunyai data lengkap mereka yang terdesak sebelum menghampiri, berbincang seterusnya berpakat bagaimana untuk bertindak agar wang simpanan boleh dikeluarkan.
Berkongsi kisah mangsa sindiket pengeluaran wang caruman KWSP, Nadzim berkata ada di antara pengadu mengakui mengalami gangguan mental dan emosi selepas berurusan dengan sindiket tersebut kerana mereka bukan sahaja menipu, malah turut ditipu setelah wang simpanan berjaya dikeluarkan.
"Mereka katakan ia sebagai tipu keliling atau tipu 100 peratus iaitu sama-sama berpakat menipu KWSP dan selepas simpanan berjaya ditunaikan, mereka pula ditipu ejen sehingga tidak mendapat sesen pun daripada pengeluaran wang hasil keringat sendiri.
"Mereka akui pengeluaran bukan untuk tujuan membeli rumah atau hartanah seperti dinyatakan di dalam dokumen yang diserahkan kepada KWSP tetapi ia lebih kepada tekanan untuk memiliki wang segera, apatah lagi setelah termakan kata-kata manis sindiket bahawa wang itu milik mereka dan mereka berhak ke atasnya dalam apa cara sekalipun," katanya kepada Bernama.
Nadzim berkata sejak tiga tahun lepas sehingga kini, PPIM telah menerima kurang daripada 10 aduan berkenaan kes seumpama itu.
Beliau berkata walaupun masih rendah, pakatan penipuan secara bersama antara pencarum dengan sindiket, ejen atau pihak berkepentingan lain perlu dibendung sebelum menjadi lebih parah kerana pencarum bukan sahaja perlu membayar fi atau wang perkhidmatan kepada pihak tersebut sehingga 10 ke 40 peratus daripada jumlah pengeluaran, tetapi lebih malang ada di antara mereka terpaksa 'bermandikan air mata' apabila ditipu oleh pihak yang diberikan kepercayaan.
"Kita nasihatkan pencarum agar menghargai nilai wang yang disimpan hasil daripada titik peluh mereka dengan tidak mudah mempercayai sindiket atau ejen yang menawarkan pertolongan mengeluarkan wang caruman dan lebih utama, pencarum perlu sedar KWSP tidak pernah melantik pihak ketiga dan mengenakan sebarang bayaran dalam urusan pengeluaran wang simpanan tersebut," katanya.
Kes melibatkan pencarum yang menipu untuk mengeluarkan wang simpanan pekerja sehingga berani menggunakan sindiket tertentu bagi mengeluarkan wang simpanan mereka walau berdepan risiko tinggi termasuk caj sampingan ejen juga dipercayai terjadi akibat perancangan kewangan yang tidak efisien serta penggunaan kad kredit untuk melakukan pembelian tidak mustahak.
Anggota Jawatankuasa Kluster Ekonomi dan Pengurusan Majlis Profesor Negara (MPN) Prof Datuk Dr Mustafa Mohd Hanefah berkata tiada perancangan kewangan peribadi dan penggunaan kad kredit tanpa kawalan akan menyebabkan hutang seseorang individu bertambah lalu mendorong mereka meminjam daripada pihak yang sentiasa mengintai peluang menggunakan mereka.
Walaupun tidak menerima aduan secara rasmi, pensyarah Fakulti Ekonomi dan Muamalat Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), itu berkata pemerhatian pihaknya mendapati keadaan itu menyebabkan pencarum meminjam wang daripada sindiket tertentu untuk melunaskan hutang terdahulu yang tanpa disedari menjadikan mereka berhutang dengan sindiket tersebut.
Dalam situasi itu, sindiket akan mencadangkan supaya pemiutang mengeluarkan wang simpanan KWSP dan menawarkan bantuan menguruskannya dengan mengenakan bayaran perkhidmatan yang tinggi kepada mangsa bagi melunaskan hutang walau terpaksa menipu atau mengemukakan dokumen palsu kepada KWSP, katanya.
Beliau berkata modus operandi sama turut digunakan bagi menjerat pelajar institusi pengajian tinggi, khususnya daripada kalangan keluarga berpendapatan sederhana untuk memujuk ibu bapa mengeluarkan wang caruman atas nama pengeluaran pendidikan, satu daripada pengeluaran yang dibenarkan dibuat oleh pencarum daripada Akaun 2 bagi tujuan membiayai pengajian mereka atau anak mereka di peringkat pengajian tinggi.
"Kami sedar pelajar amat mudah menjadi mangsa sebagaimana mudahnya mereka terjebak dengan sindiket penipuan berkonsepkan Multi Level Marketing (MLM) dan atas kebimbangan itu, kami di USIM sentiasa memberi penerangan tentang caruman KWSP dan prosedur pengeluaran serta kepentingannya kepada masa depan pencarum, khususnya kepada pelajar-pelajar baharu," katanya.
Sebelum ini, media melaporkan KWSP telah membuat laporan polis berhubung 312 kes penipuan pengeluaran KWSP yang membabitkan pencarum dan dua institusi pengajian tinggi swasta yang bersubahat dengan pencarum membuat penipuan pengeluaran simpanan KWSP dengan berselindung menawarkan kursus di institusi berkenaan.
Sementara itu, KWSP mengingatkan pencarum agar tidak terpedaya dan terpengaruh dengan muslihat sindiket yang mengambil kesempatan kemudahan pengeluaran Akaun 2 melalui iklan yang dikesan dilakukan secara aktif melalui media sosial, apatah lagi iklan perkhidmatan tersebut secara haram menggunakan logo KWSP untuk meyakinkan pencarum.
Selain mempunyai sistem yang sangat komprehensif untuk mengesan percubaan penipuan dokumen, KWSP juga tidak pernah melantik atau meluluskan perkhidmatan pihak ketiga dengan tujuan mempercepatkan permohonan pengeluaran, malah pencarum yang memenuhi kriteria pengeluaran boleh pergi ke mana-mana cawangan KWSP dan memohon pengeluaran tanpa perlu melalui ejen atau pihak ketiga.
Mengikut laporan akhbar, sebanyak 85 kes cubaan penipuan pengeluaran direkodkan KWSP pada 2015, diikuti 152 kes tahun lepas dan 63 kes setakat Jun tahun ini yang mana sindiket menggunakan iklan di media sosial, risalah dan iklan yang menjanjikan kelulusan mudah bagi pengeluaran wang daripada pencarum sebagai modus operandi.
Berdasarkan Akta KWSP 1991, pencarum yang didapati bersalah membabitkan dokumen palsu boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya sekali.
-- BERNAMA
Bernama
Sat Nov 18 2017
Ketua Aktivis Datuk Nadzim Johan mendedahkan terdapat pencarum yang berpakat dengan syarikat perumahan dan ejen hartanah untuk menipu KWSP semata-mata bagi mendapatkan hak ke atas wang simpanan mereka. - Gambar fail
Malaysia-China bincang perkukuh kerjasama sektor pendidikan tinggi
Sempena sambutan Ulang Tahun ke-50 Hubungan Diplomatik, Malaysia dan China bincang inisiatif strategik perluas dan perkukuh jalinan kerjasama sektor pendidikan tinggi.
Freedom Flotilla to Gaza: Semua delegasi diminta pulang, FFC akan maklumkan tarikh baharu misi
Freedom Flotilla Coalition tidak dapat meneruskan misi penghantaran bantuan ke Gaza untuk kali ini.
Biden rancang untuk berdebat dengan Trump
Sebelum ini, Biden tidak komited untuk berdebat dengan lawannya, Trump.
Pesta Kaamatan 2024 dilancar pada 1 Mei di Ranau, Sabah
Sambutan perayaan Pesta Kaamatan 2024 akan dilancarkan pada 1 Mei di Ranau dan diadakan sambutan di peringkat daerah, di Sarawak dan Semenanjung.
Khairulnizam layak ke Sukan Olimpik Paris 2024
Khairulnizam Mohd Afendy sah akan mengiringi Nur Shazrin Mohd Latif ke Sukan Olimpik Paris 2024, juga merupakan penampilan keempat berturut-turut di temasya berprestij itu.
Musibah banjir buka peluang 'rezeki lebih' usahawan F&B melalui IPR
Musibah banjir yang melanda Johor tahun lepas membuka peluang rezeki baharu kepada usahawan makanan dan minuman, Haida Abdul Rahman.
Mohd Azizulhasni tekad dikalungkan pingat emas di Paris
Azizulhasni tekad untuk 'dikalungkan' pingat emas pertama Malaysia di Sukan Olimpik Paris 2024 pada penampilan terakhirnya di temasya itu.
USM cipta rekod hasilkan kaligrafi Cina 2.68km
Penuntut USM cipta rekod dalam MBOR apabila menghasilkan penulisan kaligrafi Cina sepanjang 2.68 kilometer.
MITRA sudah belanja RM40 juta daripada peruntukan RM100 juta tahun ini
Sebanyak RM40 juta daripada peruntukan RM100 juta yang disalurkan kerajaan tahun ini kepada MITRA telah dimanfaatkan untuk pelbagai program.
Laporan Pasaran Labuan IBFC 2023 tunjukkan pemulihan kukuh, pertumbuhan luar biasa
Laporan Labuan IBFC 2023 mendedahkan pertumbuhan luar biasa wilayah itu yang menyumbang RM1.2 bilion kepada hasil fiskal Malaysia dan melepasi paras RM1 bilion buat pertama kalinya.
KWSP: Mengimbangi mandat persaraan dan sokongan kelangsungan ekonomi ahli - Pakar
Mohd Afzanizam menegaskan bahawa KWSP bukan satu-satunya organisasi yang bertanggungjawab dari segi menambah baik kehidupan masyarakat.
Akaun Fleksibel KWSP: Pengeluaran tahun pertama dianggarkan cecah RM25 bilion
Akaun 3 KWSP yang menjadi tumpuan ramai, dikenali sebagai Akaun Fleksibel dan merupakan pilihan bagi sejumlah 16.07 juta ahli.
KWSP struktur semula kepada tiga akaun mulai 11 Mei
Akaun KWSP akan distruktur semula daripada dua kepada tiga, iaitu Akaun Persaraan, Akaun Sejahtera dan Akaun Fleksibel.
KWSP tidak lagi jadi pemegang saham utama Affin Bank, buka laluan kepada Sarawak
Pelupusan saham Affin Bank oleh KWSP berlaku pada 12 April, namun tidak dinyatakan nilai urus niaga itu.
Lebih 200,000 pencarum KWSP cukup simpanan asas menjelang usia 55 tahun
Dewan Negara hari ini diberitahu terdapat 227,000 pencarum KWSP mempunyai simpanan asas sekurang-kurangnya RM240,000 dalam Akaun 1 menjelang usia 55 tahun, setakat Februari lepas.
AmanahRaya perjelas isu wang caruman ahli KWSP
Kandungan mesej berkaitan penamaan bagi caruman ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang kini tular melalui aplikasi WhatsApp adalah tidak benar.
KWSP peruntuk RM250 juta, pacu pertumbuhan syarikat pertengahan
Usahasama ini sebahagian komitmen KWSP meningkatkan pelaburan dalam pasaran domestik, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai pelabur terbesar dalam pasaran domestik.
Hapus skim pencen, Cuepacs tidak tolak secara total
Cuepacs tidak menolak secara total cadangan kerajaan untuk memansuhkan skim pencen, yang kononnya membebankan kerajaan.
Caruman PERKESO, KWSP antara cadangan pindaan peraturan Finas
Finas sedang melaksanakan pindaan kepada Peraturan-Peraturan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Pelesenan) 1983 dalam usaha menjaga kebajikan penggiat industri veteran.
Isu pencen: 'Ucapan Abdul Hadi tidak tepat, kelirukan orang ramai' - Nik Nazmi
Ucapan Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang berkaitan isu pencen penjawat awam mengelirukan orang ramai, kata Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Nik Nazmi Nik Ahmad.