Sebanyak 200 paket makanan percuma diedarkan kepada orang awam dan para pelajar pada setiap hari Jumaat melalui program anjuran Persatuan Ilmu Pendidikan (PIP) yang berlangsung di Masjid Al-Malik Khalid, Universiti Sains Malaysia (USM).

Program yang diberi nama 'Saham Akhirat Pendidik' mula dicetuskan oleh bekas Dekan Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan, Profesor Datuk Dr. Abdul Rashid pada dua tahun lepas.

Kini, beliau yang bertugas sebagai pengarah di Unit Penyelidikan Pendidikan Asas masih lagi bergiat aktif dalam program ini.

Menurut YDP Persatuan Ilmu Pendidikan (PIP), Noor Anizan Daud, program seperti ini adalah bertujuan untuk mengimarahkan lagi masjid di samping membantu para pelajar berjimat dengan menyediakan makanan seperti sandwic, mi goreng, bubur lambuk dan sebagainya.

"Proses penyediaan makanan dilakukan sendiri oleh para pelajar PIP bermula daripada proses memasak di Kafe Anjung Budi sehingga proses pengagihan makanan. Kebanyakan pelajar yang terlibat dalam program ini terdiri daripada pelajar tahun ketiga," tambah Noor Anizan.

Bagi Naib Yang Dipertua 1 PIP, Norhafiz Nordin, program ini mendapat sokongan penuh daripada dekan, pensyarah dan pelajar-pelajar Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan itu sendiri.

"PIP turut membuat aktiviti amal lain seperti program Food Bank yang mana roti dan air mineral disediakan buat para pelajar di bangunan pusat pengajian.

"Selain itu kami telah merancang untuk memberi tuisyen percuma di rumah anak yatim bagi subjek Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains pada setiap malam Selasa," ujar Norhafiz.
_______________________________________________________________________________
*Laporan ini disediakan AWANI Rangers Universiti Sains Malaysia, Fiqrie Mohd Firoz

*Awani Rangers ialah inisiatif Astro AWANI bagi menggalakkan pelajar Institut Pengajian Tinggi untuk berkongsi cerita serta menghasilkan bahan berita dan informasi dalam era kewartawanan moden.

**AwaniRangers USM ialah inisiatif kerjasama strategik Astro AWANI dan Universiti Sains Malaysia.