Kementerian Dalam Negeri (KDN) meminta semua parti politik mengawal ahli masing-masing bagi memastikan tiada kekecohan berlaku pada proses penamaan calon esok.

Menterinya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata semua pihak perlu mengelak kejadian tidak diingini berlaku selain menunjukkan tata tertib yang baik sepanjang proses itu.

“Kita harap semua parti politik yang menghantar calon di penamaan calon esok perlu menjaga parti masing-masing dan jaga negara.

“Kita harap seluruh negara tiada insiden, ini adalah proses demokrasi. Walaupun kita berbeza pendapat, imej kita di luar negara sedang diperhatikan," katanya pada sidang media selepas melakukan program ziarah di beberapa buah rumah di sini pada Jumaat.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata amaran itu turut melibatkan calon-calon bebas serta penyokong masing-masing.

Kata beliau lagi, arahan juga telah dikeluarkan kepada Ketua Polis Negara dan Ketua-Ketua Polis di peringkat negeri supaya mengambil tindakan terhadap mana-mana individu yang cuba membuat kekecohan tanpa mengira parti.

“Saya minta mereka supaya menjaga keamanan dan ketenteraman dan tidak berpihak (kepada sesiapa) jika berlaku kekecohan dalam kalangan penyokong ketika proses penamaan calon berjalan,” katanya.