Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan membenarkan rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura untuk kembali berulang-alik atas urusan kerja.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri memberitahu, kerajaan Malaysia juga bersedia untuk memastikan mereka menjalani ujian pengesahan COVID-19 jika diperlukan oleh Singapura.

"Mengenai rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura, kerajaan mengambil maklum bahawa sektor industri di negara itu telah bermula operasi dan meminta kebenaran supaya pekerja mereka yang berwarganegara Malaysia untuk berulang-alik.

"Susulan itu mesyuarat khas bersetuju untuk membenarkan rakyat Malaysia untuk berulang alik atas urusan kerja di Singapura dan kita bersedia untuk memastikan mereka menjalani ujian COVID-19," katanya pada sidang media di Putrajaya di sini, pada Isnin.

Pun begitu kata Ismail Sabri berkata, pelaksanaan kebenaran itu masih dalam perbincangan antara Ketua Setiausaha Kementerian Luar Malaysia dan rakan sejawatannya di Singapura.

"Selepas dibentangkan dalam Mesyuarat Khas Menteri dan jika dimuktamadkan maka bolehlah pekerja-pekerja kita yang berulang-alik dari Johor Bahru ke Singapura memulakan kerja mereka.

"Kita masih menunggu hasil rundingan itu," jelasnya.

Dalam perkembangan yang sama, Ismail Sabri mengucapkan terima kasih atas dua tawaran daripada Yayasan Sultan Ibrahim dan dua syarikat swasta Singapura iaitu Kumpulan Temasik dan Thompson Medical Group untuk menyumbangkan dua makmal ujian saringan bergerak dan kit ujian COVID-19.