Kementerian Wilayah Persekutuan mengalu-alukan rakyat Malaysia dari seluruh negara untuk beramai-ramai hadir ke Putrajaya pada 31 Ogos ini bagi meraikan serta memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan 2018.

Menterinya Khalid Abd Samad berkata kemuncak sambutan penuh bersejarah hari kemerdekaan itu adalah persembahan perbarisan yang akan diadakan di Dataran Putrajaya, Presint 3 di sini.

"Sambutan Hari Kebangsaan tahun ini juga mencatatkan sejarah kerana buat pertama kalinya ia diraikan di bawah tampuk kepimpinan kerajaan baharu iaitu Pakatan Harapan," katanya pada majlis sambutan Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2018 di kementeriannya di sini, hari ini.

Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2018 itu dilancarkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di Padang Kota Lama, Pulau Pinang pada 4 Ogos lalu bersempena pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2018.

Konvoi yang melibatkan 133 orang peserta dan 52 kenderaan termasuk motosikal itu menjelajah Semenanjung Malaysia bermula 5 Ogos di Seberang Jaya, Pulau Pinang dan bakal berakhir pada 31 Ogos di Dataran Putrajaya.

Khalid berkata konvoi itu juga merupakan usaha untuk mendapatkan keyakinan rakyat selepas pertukaran tampuk pemerintahan.

"Kerajaan berubah tidak semestinya dunia akan kiamat, tetapi kerajaan baharu akan membawa harapan baharu.

"Justeru usaha kembara ini amat penting untuk mengembalikan keyakinan rakyat bahawa perubahan kerajaan bukan satu malapetaka, sebaliknya ia satu kemenangan dan kejayaan kepada rakyat," katanya.

-- BERNAMA