Meskipun kejadian kes tembak imam warga Palestin, Dr Fadi AlBatsh di ibu negara pada Sabtu mengejutkan orang ramai, rakyat Malaysia dinasihatkan supaya tidak panik atau risau tentang situasi keselamatan keseluruhan.

Hal ini kerana kes seumpama itu hanya melibatkan warga luar dan bukan rakyat tempatan.

Mangsa yang mati dipercayai ditembak oleh ejen perisikan asing pada Sabtu itu, dilihat sebagai mangsa sasaran khusus, rentetan daripada masalah dari negara asalnya.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohammed berkata terdapat warga asing yang terlibat dalam konflik peperangan datang ke Malaysia untuk mencari perlindungan.

Namun, secara langsung mereka memberi impak kerana turut membawa bersama masalah di negara asal seperti dalam kes Dr Fadi.

BACA: Suspek benar-benar ada motif untuk bunuh imam Palestin

BACA: Jangan buat andaian, kes masih dalam siasatan - KP KL

Bagaimanapun, ujar Nur Jazlan, pemantauan akan terus dilakukan dan siasatan masih berjalan.

“Orang tempatan tidak perlu risau kerana tiada kena-mengena dengan dia. Kalau ada kegiatan ejen asing, tidak melibatkan rakyat Malaysia.

“Soalnya sekarang ialah warga negara Palestin atau negara yang terlibat dalam peperangan akan datang untuk mencari perlindungan kita di Malaysia.

“Kita terima mereka dan beri perlindungan tetapi masalahnya, masalah yang dibawa dari negara asal akan beri impak kepada mereka yang datang ke sini," ujar beliau.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Jualan Sentuhan Rakyat di Kempas, Johor Bahru, Johor.

Pada Sabtu, Dr Fadi juga merupakan pensyarah Universiti Kuala Lumpur (UniKL) ditembak ketika dalam perjalanan ke surau untuk menunaikan solat subuh.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam sidang medianya percaya pembunuhan berkaitan dengan ejen perisikan sebuah negara yang bermusuhan dengan Palestin.

Siasatan awal mendapati pelakunya adalah dua lelaki berkulit putih menaiki motosikal berkuasa tinggi jenis BMW 1100 cc.