Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah rakyat perlu realistik dalam meletakkan harapan kepada kerajaan.

Titah baginda, kerajaan sedang terus berusaha untuk memajukan diri ke arah meningkatkan kesejahteraan hidup.

“Semestinya kerajaan beta akan sentiasa bersama-sama rakyat dalam mengharungi cabaran ini,” titah baginda.

Al-Sultan bertitah demikian ketika berkenan menyampaikan titah diraja selepas merasmikan istiadat pembukaan persidangan Dewan Rakyat Penggal Kedua, Parlimen Ke-14 pada Isnin.


Dalam pada itu, Yang di-Pertuan Agong turut menitahkan pelbagai inisiatif turut dilaksanakan.

Antaranya penyelarasan gaji minimum, pemberian bantuan sara hidup, subsidi bersasar, program food bank (Bank Makanan) serta peningkatan kualiti sistem penyampaian kerajaan.

Titah baginda lagi, rakyat harus yakin dengan pelbagai langkah yang diambil oleh kerajaan biarpun kesannya mungkin tidak segera dirasai.

“Kerajaan Beta sedar peningkatan kos sara hidup merupakan antara cabaran dalam meningkatkan kesejahteraan rakyat.

“Mengambil kira hal ini, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan di seluruh negara untuk membantu rakyat termasuk menubuhkan Majlis Tindakan Sara Hidup Negara,” titahnya.


Dalam pada itu, titah baginda lagi, dalam era dunia tanpa sempadan dan kepesatan kemajuan teknologi, kegiatan jenayah cenderung untuk meningkat.

Hal demikian bukan sahaja boleh menggugat keselamatan negara malah boleh mencetuskan konflik serantau dan global.

“Beta berharap tahap keselamatan dan kesiapsiagaan dalam menghadapi apa-apa jua ancaman hendaklah terus diperkukuhkan dengan lebih berkesan,” titahnya.