KUALA SELANGOR:“Sebenarnya, ramai yang salah faham. Sepanjang Sungai Selangor ini tiada kilang-kilang haram,” kata Exco Negeri Selangor, Hee Loy Sian.

Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar Negeri Selangor itu berkata demikian sewaktu dalam sidang media di Kuala Selangor, berkaitan isu pencemaran di Sungai Selangor yang menjejaskan bekalan air bersih kepada lebih sejuta akaun pengguna.

Menurutnya, kilang-kilang haram itu kebanyakannya berada di Rawang.

“Sisa buangan dari kilang itu mengalir ke longkang, kemudian ke anak sungai dan barulah mengalir ke Sungai Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai respons terhadap pertanyaan wartawan berhubung tindakan kerajaan negeri terhadap kilang-kilang haram yang melakukan pencemaran air.

 
BACA: Gangguan bekalan air: 1.2 juta akaun pengguna Kuala Lumpur, Selangor terjejas

BACA: Pencemaran Sungai Selangor: Bau larutan dikesan, sampel dibawa ke makmal


Tambah Loy Sian, ramai pihak juga salah faham dan mendakwa kerajaan negeri tidak mengambil tindakan terhadap mereka yang terlibat.

“Saya rasa Majlis Perbandaran Selayang kerja kuat siang dan malam bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk periksa di setiap premis supaya mereka tidak langgar undang-undang,” tegas beliau.

Astro AWANI pada Isnin melaporkan JAS telah mengenal pasti punca pencemaran di Sungai Selangor yang direkodkan sejak pagi Isnin.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, sampel pencemaran mempunyai bau larutan (solvent) sama seperti kes pencemaran sebelum ini.


Sebelum itu, beliau mengakui operasi kilang haram di sekitar kawasan sungai memberi cabaran buat pihaknya memantau pencemaran sungai yang berlaku.

Bagaimanapun jelasnya, JAS telah ditugaskan untuk memantau sepanjang masa sebarang aktiviti pembuangan sisa tercemar di sepanjang Sungai Selangor.

BACA: Masalah air: KSU kementerian akui LRA Langat 2 sepatutnya dibina

Susulan pencemaran Sungai Selangor dikesan awal pagi ini, Air Selangor mengeluarkan arahan henti tugas di empat loji rawatan air (LRA) iaitu di LRA Sungai Selangor Fasa 1, Fasa 2, Fasa 3 dan Rantau Panjang.

Berikutan itu, gangguan bekalan air tidak berjadual dijangka melibatkan 1,196,457 akaun pengguna di 1,292 kawasan dalam wilayah Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.