Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berpendapat bahawa ringgit Malaysia berada di bawah nilai berikutan ketidaktentuan persekitaran ekonomi dunia.

Beliau berkata, ringgit, serta mata wang beberapa negara lain, mengalami penyusutan berikutan krisis perdagangan antara China dan Amerika Syarikat (AS), antara lain.

"Hakikatnya semua mata wang sekarang ini mengalami penyusutan yang amat ketara. Bukan hanya melibatkan mata wang Malaysia malah mata wang negara lain juga susut pada kadar yang lebih pantas daripada kita," katanya dengan memetik mata wang negara Argentina dan Turki juga menghadapi isu yang sama.

BACA: Hubungan saya dan Anwar baik-baik sahaja - Tun Mahathir


Beliau juga berkata: "banyak mata wang negara lain juga mengalami penyusutan disebabkan kesan perang perdagangan antara China dan AS selain prestasi ekonomi teruk yang dicatatkan banyak negara," katanya ketika ditanya mengenai prestasi ringgit semasa sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Kepimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di sini hari ini.

Dr Mahathir merupakan Pengerusi Bersatu.

Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar AS hari ini, seiring dengan kebanyakan mata wang serantau lain.

Pada 6 petang, unit tempatan berada pada 4.1370/1400 berbanding dolar AS daripada 4.1430/1460 pada Khamis.

-- BERNAMA