Seekor rusa liar yang diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) setelah parah disahkan telah mati pada pagi Jumaat.

Pemangku Perhilitan Perak,Wan Shaharuddin Wan Nordin ketika dihubungi Astro AWANI mengesahkan perkara tersebut dan berkata ia berpunca daripada kecederaan dalaman haiwan liar berkenaan.

Jelasnya, pihaknya telah melakukan pemeriksaan ke atas rusa liar jenis Sambar jantan berusia dua tahun sebaik sahaja diserahkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak pada malam Khamis lepas.

“Saya telah mendapat makluman daripada kakitangan Pusat Menyelamat dan Konservasi Hidupan Liar Sungkai yang merawat haiwan seberat 80 kg itu bahawa rusa itu telah mati sekitar 8.40 pagi (Jumaat).

“Menurut laporan bedah siasat, punca kematian haiwan itu adalah pendarahan dalaman buah pinggang dan kerosakan menyeluruh di paru-paru, dan kesemuanya konsisten dengan impak rempuhan kereta seperti yang dilaporkan,” katanya kepada Astro AWANI pada pagi Sabtu.

BACA: Rusa tersesat masuk bandar, cedera parah dirempuh kereta

Shaharuddin berkata, pihaknya telah bekerjasama dengan Bomba Perak untuk menghantar rusa tersebut bagi rawatan sebaik sahaja menerima laporan berkenaan insiden perlanggaran haiwan liar yang dipercayai tersesat hingga ke kawasan bandar itu.

Katanya, rusa itu disahkan mati ketika sedang mendapatkan rawatan selepas dihantar ke Pusat Konservasi dan Menyelamat Hidupan Liar Sungkai sekitar jam 1.40 pagi Jumaat.

Dalam pada itu, Shaharuddin memohon kerjasama orang ramai untuk segera menghubungi pihak Perhilitan Atau Jabatan Bomba dan Penyelamat, atau mana-mana agensi terlibat sekiranya terjumpa dengan haiwan liar.

“Sekiranya anda terlanggar, atau menemui haiwan liar yang terancam di mana sahaja, sila hubungi agensi berwajib yang saya pasti bersedia untuk tindakan menyelamat.

“Ini amat penting,untuk mengelakkan sesuatu tidak diingini berlaku kepada haiwan liar tersebut, dan berdasarkan pengalaman kami road kill biasanya berlaku pada haiwan liar seperti tapir, rusa, gajah dan harimau,” ujarnya lagi.