KOTA KINABALU: Capaian Internet di kawasan pelancongan di seluruh Sabah perlu dipertingkatkan dalam usaha mengembangkan industri pelancongan tempatan untuk pasaran antarabangsa termasuk China.

Duta Khas kepada Perdana Menteri ke China bertaraf Menteri, Datuk Seri Tiong King Sing, berkata ia merupakan salah satu faktor utama  dalam menarik pelancong serta pelabur-pelabur asing ke negeri ini.

Beliau yang juga Pengerusi Malaysia-China Business Council (MCBC),  berkata Sabah perlu memastikan negeri itu mempunyai kemudahan Internet yang baik yang diperlukan golongan pelancong serta pelabur.

"Seperti mana yang dinyatakan oleh Lembaga Pelancongan Sabah, trend 'check-in' di media sosial dalam era ini merupakan pemangkin kepada perkembangan pelancongan.

"Dengan membelakangkan penambahbaikan liputan isyarat Internet, daya saing tarikan pelancong negeri ini akan berkurangan.

"Majoriti pelancong berhasrat untuk terus berhubung dengan ahli keluarga dan rakan yang berada jauh pada bila-bila masa, serta mendapatkan berita terkini, serta memuat naik aktiviti di media sosial," katanya.

Tambahnya, kepelbagaian sumber alam dan identiti kebudayaan yang unik merupakan kekuatan negeri ini.

"Kementerian Pelancongan perlu bersedia dengan pembukaan semula sempadan antarabangsa dalam era pasca-pandemik, dengan mengkaji dan meneroka kawasan pelancongan yang boleh dikembangkan dengan pasaran antarabangsa sebagai sasaran.

"Bahan promosi perlu merangkumi budaya kumpulan-kumpulan etnik, termasuk budaya Kadazan dan Dusun, yang akan menarik minat pelancong asing," katanya.

Bagi menambah kepelbagaian dalam projek-projek pelancongan, Tiong berkata adalah penting untuk mengambil kesempatan terhadap persekitaran geografi di Sabah dengan mengembangkan destinasi pelancongan berasaskan aktiviti air dan mengubah pantai-pantai di pulau kepada tempat percutian sesuai untuk semua peringkat umur.

Tiong turut mengulang kenyataan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Jafry Arifin yang berkata aspek keselamatan awam turut perlu diberikan tumpuan.

Beliau menjelaskan bahawa beberapa insiden keselamatan yang berlaku di pulau-pulau di Sabah pernah mendapat liputan antarabangsa sebelum ini dan ia telah melemahkan potensi ekonomi.

"Ini (jaminan keselamatan) bukan sahaja akan meningkatkan keyakinan pelancong, tetapi akan menarik pelabur-pelabur asing ke sektor pelancongan.

"Ia merupakan kerisauan terbesar oleh para pelancong. Dalam konteks ini, pihak berwajib harus menghantar lebih banyak tentera dan anggota polis untuk membuat rondaan di kawasan pelancongan bagi menjaga keselamatan," katanya ketika ditemui media selepas lawatan ke Pulau Manukan bersama Jafry, pada Sabtu.