Sekolah-sekolah luar bandar perlu diberikan bantuan dan kemudahan setara dengan sekolah luar bandar, bagi membantu proses pengajaran dan pembelajaran.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bantuan dan kemudahan itu akan membantu pelajar sekolah luar bandar mencatat prestasi lebih cemerlang dalam peperiksaan utama.

Tegas beliau, ketika ini pelajar di luar bandar juga mempunyai potensi cukup besar seperti pelajar di bandar.

"Tidak seharusnya dinafikan hak sekolah ini untuk memperoleh peralatan melalui kaedah pembelajaran yang baharu.

"Ini kerana pelajar-pelajar di luar bandar juga mempunyai potensi yang cukup besar bagi memperoleh ilmu dan kaedah pembelajaran yang baharu," kata beliau ketika berucap pada program penyerahan sumbangan komputer dan bahan bacaan kepada 47 pelajar dari 31 sekolah rendah dan menengah serta 17 tadika dalam Parlimen Bagan Datuk.

Beliau menarik perhatian ketika ini ada sekolah luar bandar yang mencatatkan prestasi jauh lebih cemerlang dari sekolah di bandar dan pinggir bandar.

Turut hadir Pengarah Urusan MHC Plantation Bhd, Tan Sri Mah King Thian; Ahli Dewan Undangan Negeri Rungkup, Datuk Shahrul Zaman Yahya; dan Pegawai Daerah Bagan Datuk, Datuk Hamzah Husin.

Dalam pada itu, Timbalan Perdana Menteri mahu Kementerian Pendidikan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sektor swasta berganding bahu bagi membolehkan sekolah luar bandar mendapat bantuan yang secukupnya.