Seorang Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 17 Oktober lalu dibebaskan hari ini.

Beliau yang juga adik kepada bekas Menteri Kabinet itu dibebaskan kira-kira pukul 10.05 pagi dengan ikat jamin SPRM RM100,000 dengan RM 50,000 deposit beserta dua penjamin tempatan.

Perintah pembebasan itu dibuat Majistret Cindy Mc Juce Balitus selepas mendengar permohonan Pegawai Pendakwa SPRM Faliq Basiruddin.

Ahli politik itu direman enam hari bermula 18 Oktober bagi membantu siasatan berhubung penyelewengan dana pembangunan luar bandar mengikut Seksyen 17A Akta SPRM 2009.

Bagaimanapun beliau dikehendaki melaporkan diri ke pejabat SPRM sekali dalam sebulan hingga kes selesai.

-- BERNAMA