Sembilan buah kampung terjejas manakala enam sekolah terpaksa ditutup akibat banjir kilat susulan hujan yang berterusan sejak petang semalam di daerah ini.

Antara kampung yang terjejas adalah Kampung (kg) Rukom Ulu, Kg Salimpodon Darat, Kg Sibaung, Kg Kebatasan Laut, Kg Sulakolung Kanibongan, Kg Kutoyon Kanibongan, Kg Masin Besar Kg Kanibongan, Kg Kanibingan dan Kg Mandamai.

Manakala enam sekolah yang ditutup berikutan bangunan dinaiki air dan laluan tidak boleh dilalui adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Kanibongan, SK Dalas, SK Kusilad, SK Sosop, SK Pandan Mendamai serta Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kanibongan.

Menurut Pegawai Daerah Pitas, Bubudan OT Majalu, setakat ini penduduk yang tinggal di Kg Rukom Ulu sudah dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di SK Rukom sejak pagi tadi untuk tindakan lanjut memandangkan paras air semakin meningkat secara mendadak di lokasi itu.

Seorang penduduk dipapah anggota APM untuk dipindahkan ke PPS selepas rumah mereka dinaiki air.

"Untuk makluman setakat jam 12.30 tengah hari tadi, keadaan banjir di Pitas masih belum reda dengan terdapat sembilan buah kampung terjejas manakala enam sekolah terpaksa ditutup kerana dinaiki air.

"Dua laluan di Jalan Langkon-Pitas turut terjejas dinaiki air manakala satu lagi laluan di Jalan Ladap-Kinangoh, terpaksa ditutup untuk semua jenis kenderaan," katanya, ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.

Jelasnya, operasi menyelamat penduduk yang terjejas akibat banjir kilat di daerah ini masih giat dijalankan oleh pihak berkuasa seperti Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

"Tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan berlaku setakat ini.

" Pusat kawalan operasi bencana daerah juga sudah dibuka pada jam 9 pagi tadi dan orang ramai boleh menghubungi talian 088-615520, "katanya.