Seorang suspek kes samun kedai emas ditembak mati polis kira-kira pukul 2 pagi tadi selepas berbalas tembakan berhampiran kawasan perumahan dekat Bandar Sunway di sini.

Suspek dipercayai merupakan rakan kepada salah seorang yang juga ditembak mati polis di Taman Connaught, Cheras sekitar pukul 10.30 malam semalam.

Sebelum itu, suspek berusia 33 tahun dikesan dalam keadaan mencurigakan dalam sebuah kereta jenis Perodua MYVI di Jalan PJS 9, Bandar Sunway di sini.

Suspek yang enggan memberikan kerjasama ketika ditahan Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFOC), bertindak melepaskan tembakan ke arah polis.

Suspek rebah di lokasi kejadian selepas ditembak polis dan disahkan meninggal dunia. Polis turut menemui sepucuk pistol dan satu revolver di dalam kenderaan dinaiknya.

Siasatan awal mendapati lelaki berkenaan memiliki enam rekod jenayah lampau atas pelbagai kesalahan jenayah selain tiga kali dijatuhi hukuman buang daerah.