SUBANG JAYA: Tindakan seorang lelaki menarik rambut dan mengheret kekasihnya ke dalam kolam renang di sebuah kondominium di Jalan Taylor, Bandar Sunway di sini membawa padah apabila kejadian itu disiasat polis selepas mangsa membuat laporan pada Khamis.

Bagaimanapun, mangsa kemudiannya bertindak menarik balik laporan yang dibuat terhadap pasangannya itu.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, pihaknya mengesan rakaman berkaitan aksi terbabit yang didapati tular menerusi platform media sosial.

Beliau berkata, siasatan dijalankan mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 3 petang di kolam renang di kondominium terbabit dan kedua-dua individu terlibat merupakan warga asing.

"Mangsa telah membuat laporan polis berkenaan kejadian bagaimanapun menyatakan tidak mahu meneruskan kes serta tidak mahu sebarang tindakan diambil terhadap teman lelakinya.

"Mangsa juga mendakwa tidak mengalami sebarang kecederaan dan tidak mahu mendapatkan rawatan," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.

Katanya, pihaknya sentiasa memandang serius berkaitan sebarang aktiviti atau perlakuan jenayah yang berlaku.

"Orang ramai diminta untuk sentiasa memberikan kerjasama kepada polis dalam menyalurkan sebarang kegiatan mencurigakan.

"Sebarang info boleh disalurkan dengan menghubungi talian 03-78627100 (Pusat Kawalan Daerah Subang Jaya) untuk tindakan lanjut, segala identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan," katanya.

Pada Jumaat, tular video di media sosial melibatkan pergaduhan antara dua individu dipercayai pasangan kekasih di tepi kolam renang di sebuah kondominium dekat sini. - Sinar Harian