Seorang pelajar perempuan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Alor Gajah dilaporkan sesat dan hilang di Gunung Datuk, dekat sini, selepas mendaki gunung itu tengah hari semalam.

Sepasukan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Rembau bersama lapan anggota pasukan khas mencari dan menyelamat jabatan itu dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima laporan pada pukul 5 petang.

Operasi mencari mangsa turut dibantu kakitangan Jabatan Perhutanan dan polis.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Norazam Khamis berkata mangsa dikatakan mendaki gunung itu seorang diri dan tidak turun sehingga pukul 5 petang.

"Mangsa dipercayai sempat menghubungi seorang rakannya untuk memaklumkan dia sesat di gunung itu dan meminta supaya menghubungi pihak berkuasa," katanya ketika dihubungi Bernama.

Katanya sehingga pukul 9 malam tadi gerakan mencari masih giat dijalankan.