Reformasi perlu diwujudkan dalam PKR, kata bekas naib presiden PKR N. Surendran, mengulas mengenai prestasi parti itu dalam mencapai setahun Malaysia Baharu.

“PKR adalah parti berasaskan agenda reformasi, namun ia juga memerlukan reformasi sendiri khusus kerana parti itu dijangkiti masalah berpuak, nepotisme, kronisme. Semua itu perlu diubah dalam parti tersebut,” kata Surendran.

Beliau berkata demikian dalam sesi temu bual program "Let’s Talk with Sharaad Kuttan" sempena setahun Malaysia baharu di Astro AWANI pada Khamis.

Bagaimanapun, menurut Surendran, sepanjang pengalamannya menjadi sebahagian daripada parti tersebut, dia mengakui semua ahli PKR sedar dengan perkara tersebut.

“Banyak usaha telah diperuntukkan untuk mengatasi isu berkenaan. Namun, ia masih wujud dan ia berhubung dengan prinsip asas PKR, iaitu sama ada ia masih berasaskan reformasi atau perkara lain,” katanya.

Tambahnya, isu berpuak-puak timbul akibat kepimpinan yang lemah.

Pada masa sama, katanya, kepentingan orang yang terlibat dalam puak-puak tersebut tidak lagi bertumpu kepada memperjuangkan prinsip 'rule of law' dan kebebasan individu.

"Sebaliknya, ia tertumpu kepada perkara lain, sekali gus mendalamkan lagi isu berpuak-puak dalam parti."




Namun, apabila ditanya mengenai kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim, beliau menjawab bahawa Presiden PKR itu meninggalkan warisan yang penting dalam memperjuangkan reformasi negara.

“Beliau muncul sebagai pemimpin yang membina agenda yang penting bagi rakyat Malaysia, iaitu agenda reformasi. Tiada siapa yang boleh menafikan perkara itu,” jelas Surendran.

“Bagaimanapun, lebih banyak usaha perlu diperuntukkan supaya PKR berada di landasan betul untuk mengetengahkan agenda reformasi.

“Sejak pilihan raya pada 9 Mei sehingga sekarang, memang jarang sekali mendengar PKR menyuarakan tentang agenda reformasi,” ujarnya.

Dalam pada itu, Surendran turut menjawab kepada persoalan sama ada PKR sebenarnya ditubuhkan untuk agenda Anwar sendiri seperti anggapan beberapa pihak.

Jelasnya, dakwaan itu merupakan satu fitnah yang dilemparkan terhadap parti tersebut yang seringkali digunakan oleh ahli parti lain, khususnya Barisan Nasional (BN).

“Walaupun ia membawa agenda untuk membebaskan Anwar, namun PKR sebenarnya dikaitkan dengan perjuangan untuk membina sistem berasaskan prinsip 'rule of law', yang mana sistem kehakiman turut bebas dan adil, tiada siapa boleh dipenjarakan hanya kerana sebab politik.

"PKR ada agenda yang lebih luas daripada agenda seorang individu sahaja."

Surendran, Naib Presiden PKR sejak 2010 hingga 2014, kini merupakan penasihat kepada pertubuhan bukan kerajaan, Lawyers for Liberty.