Tutup

Setahun PH: Sentimen Melayu, Islam terancam mainan parti kalah cuba tutup kesalahan

Setahun PH: Sentimen Melayu, Islam terancam mainan parti kalah cuba tutup kesalahan
DR MAHATHIR: Mereka cuma hendak tutup kesalahan yang telah dilakukan bagi mengalihkan pandangan rakyat. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Tindakan blok pembangkang memainkan sentimen agama Islam dan hak Melayu yang kononnya terancam di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) didakwa bertujuan menyelamatkan diri daripada kesilapan lalu.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, pembangkang mengkritik kepimpinan PH dengan mencari pelbagai isu agama Islam dan Melayu.
“Permainan sentimen Melayu dan Islam ini dimulakan oleh parti lawan yang kalah. Mereka menjadikan kita sasaran dengan mengkritik secara keras menggunakan isu agama Islam dan Melayu.

"Mereka cari apa saja yang tidak kena, tidak baik. Sedangkan, mereka tidak pula cuba mengenal pasti masalah agama dan kaum sewaktu mereka berada dalam pemerintahan sebelum ini.
"Sekarang ini, mereka bertindak seolah-olah (mereka) bersih dan tidak berdosa sama sekali. Biasalah, nak selamatkan diri.

"Sedangkan, sebenarnya ia bukan masalah Islam dan Melayu, tetapi cuma mereka nak tutup kesalahan yang telah dilakukan bagi mengalihkan pandangan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Bicara Khas bertajuk Malaysia Dinamik dan Bersih yang disiarkan menerusi saluran TV1 di sini malam ini.

Dr Mahathir yang juga Pengerusi PH itu menambah, sedangkan pemimpin dari negara Islam lain menganggap Malaysia adalah negara contoh tapi parti lawan mendakwa kedudukan agama Islam dan kaum Melayu terancam.