Siapa pelapis Chong Wei?

Siapa pelapis Chong Wei?
Penyakit kanser dihidapi Datuk Lee Chong Wei bukan penghalang kepada jaguh badminton negara itu untuk meneruskan impiannya beraksi pada Sukan Olimpik Tokyo 2020. -Foto Bernama
KUALA LUMPUR:
Penggantian bagi mendapatkan seorang lagi insan berbakat seperti Datuk Lee Chong Wei mungkin susah.

Itu kenyataan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Mohamad Norza Zakaria sewaktu sidang media bersama Chong Wei  hari ini.

Menurut Mohamad Norza, ada pelapis bagi mengantikan Chong Wei dan pihak BAM juga sentiasa bersedia melatih pemain untuk mengantikan bintang badminton itu.

“Chong Wei telah berada dalam arena badminton selama 18 tahun. Jadi untuk mendapatkan seorang lagi Chong Wei mungkin susah.

“Saya telah menyatakan ini sejak dahulu lagi dan kami mempunyai perancangan yang lebih kondusif bagi melahirkan pelapis pemain perseorangan apabila beliau tiada satu hari nanti,” katanya ketika sidang media yang berlangsung di ibu pejabat BAM, di sini hari ini.

Persoalannya, adakah Malaysia bersedia untuk menerima muka baharu bagi menggantikan Chong Wei?

Memetik laporan portal Utusan Malaysia, jurulatih kebangsaan, Datuk Misbun Sidek dalam satu temu ramah berkata pelapis baharu perlulah diasah dan ini merupakan waktu yang paling sesuai.

Atlit pelapis haruslah digilap daripada segenap aspek meliputi keyakinan, pengalaman dan arah tuju yang betul bagi melahir lebih banyak ikon seperti Chong Wei.

Justeru, sidang media yang berlangsung petang Khamis menamatkan spekulasi yang beritup kencang berhubung persaraan Chong Wei selepas beliau disahkan menghidap kanser hidung beberapa bulan lalu.
 

Sekembalinya Chong Wei ke tanah air awal Okt lalu, pihak media berteka-teki tentang status karier pemain badminton berusia 36 tahun itu.

BACA: 'Saya menangis satu minggu, tidur dan makan tidak boleh' - Chong Wei
 

Ramai yang menyangka, keadaan kesihatannya sekarang akan mendorong Chong Wei untuk bersara.

Namun, hari ini Chong Wei sendiri menjawab teka-teki berkenaan dengan mengesahkan beliau akan kembali ke gelanggang tidak lama lagi.
 

Mohamad Norza turut akui Chong Wei bakal beraksi dalam beberapa kejohanan akan datang.

“Dia cintakan badminton, hidupnya hanya untuk badminton,” katanya.

Justeru, beliau berharap peminat sukan tanah air memberi ruang kepada Chong Wei untuk berehat terlebih dahulu sebelum menjalani latihan seperti biasa.