Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan dilangsungkan selama 45 minit sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sedang dilaksanakan bagi mengelakkan implikasi perundangan.

Menurut Speaker DUN Kelantan, Datuk Abdullah Yaakub, ini kerana persidangan DUN perlu diadakan sebelum 16 April ini selepas ianya tertangguh bulan lepas.

Persidangan DUN juga wajib diadakan enam bulan sekali dengan kali terakhir diadakan tahun lepas.

“Kita terpaksa buat persidangan walaupun dalam PKP sebab persidangan Dewan ini enam bulan wajib ada sekali. Tempoh kita berakhir pada 16 April jadi kalau tidak buat dalam tempoh ini, dia terdedah kepada risiko komplikasi undang undang,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Persidangan kali ini adalah untuk meluluskan dua Rang Undang-Undang (RUU) iaitu RUU Taman Negara pindaan 1938 dan RUU Kerabat Bergelar dan Datuk Bergelar.

Persidangan kali ini juga hanya melibatkan Ahli Dewan Undangan Negeri, ADUN sahaja tanpa kehadiran Ketua Jabatan Kerajaan dan agensi berkaitan.

Ianya dilaksanakan secara tertutup dengan penjarakan sosial kerusi ahli dewan, pemeriksaan suhu badan ke atas ADUN sebelum memasuki Dewan seperti yang disarankan oleh Kementerian Kesihatan.

Seramai 44 ADUN hadir ke persidangan siang tadi dengan Titah Ucapan Pembukaan Dewan oleh Sultan Kelantan, Sultan Muhamad V dibacakan oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.