Sejumlah 6,284 kematian ekoran kemalangan jalan raya direkodkan di Malaysia pada tahun 2018, iaitu sedikit penurunan berbanding tahun sebelumnya yang mencatat 6,740 kematian.

Bagaimanapun Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook mengingatkan supaya jangan berasa lega kerana purata angka korban kemalangan masih pada tahap yang amat membimbangkan.

“Ia masih satu angka yang amat mendukacitakan, amat menyedihkan.

“Kita di pihak kementerian setiap tahun dilaksanakan pelbagai tindakan untuk mengurangkan kadar kematian, kalau boleh nak sifarkan kematian di jalan raya,” tegasnya.

Beliau mengakui walaupun saban tahun kempen giat dilancarkan namun angka korban jalan raya tetap tinggi, dan kementerian sedang berusaha mencari jalan penyelesaian, antaranya dengan memberi penekanan kepada pendidikan.

Justeru maklum beliau, Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Pendidikan bekerjasama untuk menerapkan unsur-unsur keselamatan dan undang-undang jalan raya dalam kurikulum pendidikan di sekolah yang akan dilancarkan Februari ini.

“Itu adalah antara langkah yang kita buat supaya kita nak membudayakan keselamatan jalan raya ini dan menerapkan nilai-nilai keselamatan dalam minda anak-anak kita sejak di bangku sekolah,” katanya selepas melancarkan kempen ‘Coffee Break’ dan Cabaran Pemandu Paling Selamat Nasional anjuran Petronas Dagangan Berhad (PDB) di sini pada Jumaat.

Pada masa sama katanya, pihak kementerian juga sentiasa menyemak kandungan dalam Kandungan Pendidikan Pemandu (KPP) bagi memastikan ia sentiasa relevan.

Dalam perkembangan cadangan memberikan diskaun insurans premium kepada pemandu yang berhemah, Loke berkata pihaknya masih menantikan respon daripada Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM).

Beliau katanya sudah meminta PIAM menggariskan mekanisme yang sesuai untuk merealisasikan inisiatif itu kepada pemegang insurans premium yang tidak mendapat sebarang saman bagi sesuatu tempoh.

“Saya berharap mekanisme itu akan diusulkan kepada kami pada tahun ini dan kita boleh lancarkan tahun ini juga,” tambahnya.