Satu sindiket penyeludupan dan pengedaran dadah yang didalangi warga tempatan tumpas selepas lapan anggota sindiket itu ditangkap dalam beberapa serbuan di sekitar Kuala Lumpur tiga hari lepas.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Kamarulzaman Mamat berkata pihaknya telah melakukan empat serbuan bermula jam 5.50 petang Rabu lepas.

Hasil serbuan sekitar ibu negara itu, lapan anggota sindiket warga tempatan termasuk dua wanita ditahan.

Polis turut merampas dadah jenis syabu, kokain, ekstasi dan ketamin seberat lebih 100 kilogram yang bernilai RM8.7 juta.

Nilai sitaan kenderaan, wang tunai dan barang kemas pula berjumlah lebih RM665,000.

Kesemua suspek yang ditahan berusia 19 hingga 34 tahun kini direman untuk disiasat di bawah Seksyen 39b Akta Dadah Berbahaya 1952.