Sistem pengisytiharan aset, terutama membabitkan menteri kabinet wajar dipertingkatkan dengan memperkemaskan lagi sistem sedia ada.

Selain itu barisan juruaudit dan badan bebas sewajarnya diwujudkan bertujuan mengesahkan harta yang sudah diaudit.

Itu antara cadangan penyelidik kanan ekonomi, politik dan pentadbiran, Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Shaza Onn.

Beliau yakin kepercayaan rakyat terhadap kepimpinan kerajaan selepas ini akan dapat dikembalikan apabila pengisytiharaan ini dikemaskini dan diperketatkan.

“Sistem sedia ada, memang wujud namun tidak begitu komprehensif dan juga tidak mempunyai sebarang asas perundangan seperti terbukti dalam beberapa kes.

"Contohnya dalam badan eksekutif, semua menteri-menteri kabinet perlu mengisytiharkan aset kepada Perdana Menteri, tetapi apabila anda melihat di tempat-tempat lain , pengisytiharan dilakukan menerusi sebuah badan bebas dan diaudit oleh sebuah badan luar,” katanya ketika ditemui pada forum, ‘Parti Liberal: Adakah Malaysia Bersedia?’ pada Sabtu.

Malaysia katanya dilihat kekurangan beberapa faktor yang sepatutnya ada, untuk pengurusan sistem pengisytiharan harta. Orang ramai seharusnya mampu memantau dan mendapatkan maklumat setiap aset yang diisytiharkan oleh menteri dan ahli parlimen.

“Di Malaysia , kita kehilangan beberapa faktor, antaranya ialah dari segi pemantauan dan juga akses orang awam kepada aset yang diisytihar dan perkara ini sangat penting dalam menangani gejala rasuah,” kata Shaza lagi.

BACA: 'Dakwaan skandal 1MDB propaganda fitnah Yahudi' - Mohd Razlan

BACA: Siasat dahulu sebelum tuduh Najib ambil wang 1MDB - Haron Din