Mahkamah Sesyen di sini hari ini menetapkan perbicaraan serentak akan dilakukan ke atas Bekas Timbalan Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah (JANS), Teo Che Kong, bersama tiga lagi individu yang disyaki terlibat dalam skandal rasuah jabatan berkenaan.

Perintah berkenaan dikeluarkan Hakim Abu Bakar Manat selepas menerima permohonan daripada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya keempat-empat tertuduh dibicarakan serentak.

Beliau menetapkan 21, 22 dan 23 Februari depan sebagai tarikh perbicaraan semula kes bersama tiga lagi individu yang terlibat dalam skandal JANS.

Tiga tertuduh yang akan dibicarakan serentak bersama Teo ialah bekas Pengarah JANS Awang Mohd Tahir Mohd Talib, 55 tahun, isterinya Fauziah Piut, 52 tahun, serta seorang lagi bekas timbalan pengarah jabatan itu, Lim Lam Beng, 63 tahun.

Beliau diwakili peguam belanya, Roland Cheng, Ram Singh dan Nelson Angang manakala pihak SPRM Sabah diwakili Tengku Amir Zaki Tengku Abdul Rahman dan Farez Rahman.

Pada 13 Disember lalu, Teo, 53 tahun, mengaku tidak bersalah ke atas 146 pertuduhan pengubahan wang haram yang dianggarkan bernilai lebih RM32 juta di antara tahun 2010 dan 2016.

Teo bagaimanapun membayar ikat jamin sebanyak RM1.5 juta dengan RM500,000 sebagai wang deposit dan dua penjamin tempatan.

Terdahulu, Teo bersama Awang Mohd Tahir ditahan SPRM selepas menemukan wang tunai RM52 juta - RM7 juta milik Teo dan RM45 juta milik Awang Mohd Tahir - setelah menggeledah kediaman dan pejabat kedua-dua suspek.

Turut ditemukan adalah barangan kemas, wang tunai serta geran-geran tanah yang bernilai kira-kira RM180 juta, termasuk wang tunai.

Semua pertuduhan berkenaan adalah mengikut Seksyen 4 (1) (a) Akta Pencegahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA) 2001 iaitu kesalahan memiliki 70 bidang tanah hasil daripada aktiviti haram melalui 78 tansaksi yang bernilai pindah RM12.75 juta.

Manakala Seksyen 4 (1) (b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAM) 2001 enam kesalahan memiliki wang tunai daripada aktiviti haram berjumlah RM7.93 juta termasuk RM1.978 juta dalam bentuk mata wang asing.