Operasi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) masih dijalankan seperti biasa buat masa ini, walaupun Jemaah Kabinet bersetuju untuk membubarkan badan itu, kata Menteri Pengangkutan yang baharu, Anthony Loke.

Ujarnya lagi, pihak kementerian masih mencari jalan untuk menyerap kesemua 997 kakitangan ke jabatan yang sedia ada.

“SPAD masih berjalan seperti biasa, dari segi kajian polisi, kajian dasar, kajian perlesenan dan penguatkuasaan seperti biasa, tetapi kita masih mengkaji beberapa opsyen untuk menyerap peranan SPAD dalam MOT.

“Sebagai contoh, penguatkuasa SPAD seramai 300 lebih akan diserap ke bawah Jabatan Pengangkutan Jalan, tetapi ada bahagian lain seperti perancangan, dasar dan sebagainya, kita masih kaji dan sedang mempertimbangkan apa pilihan terbaik untuk move forward,” katanya kepada media selepas menghadiri taklimat oleh pengurusan SPAD di Platinum Sentral, di sini hari ini.

Ujarnya lagi, memandangkan SPAD diwujudkan di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010, beliau akan cuba membawa perkara itu ke sesi pertama sidang Dewan Rakyat pada bulan hadapan untuk menentukan sama ada akta itu perlu dipinda atau tidak memandangkan status SPAD sebagai sebuah suruhanjaya.


Mengulas lanjut, Loke berkata, beliau turut diberi taklimat oleh SPAD tentang segala projek, kajian dan perancangan yang telah, dan sedang dilakukan suruhanjaya itu.

Antara yang dibincangkan ialah status Sistem Transit Rapid (RTS) yang akan menghubungkan Malaysia ke Singapura melalui stesyen Bukit Cagar dan Woodlands, penambahbaikan sistem e-hailing dan perkhidmatan teksi, GoKL, di Lembah Klang.


Dalam pada itu, Loke, yang juga Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, mengumumkan inisiatif pemberian pas pengangkutan awam percuma bernilai RM100, yang digariskan di bawah manifesto Pakatan Harapan, perlu ditangguhgkan buat sementara waktu.

Katanya, ini memandangkan inisiatif itu memberi implikasi yang besar kepada kedudukan kewangan negara, dan kerajaan kini sedang dalam proses berjimat cermat memandangkan kedudukan hutang negara agak tinggi.